Kalau semua pengadil teruk, siapa yang nak jadi pengadil?

Bukan mudah untuk menjadi pengadil

246

Macam biasa musim demi musim, kesilapan dari pengadil tidak pernah selesai.

Terbaru, pasukan Sri Pahang FC rugi mata dalam dua perlawanan berturut-turut akibat daripada keputusan pengadil yang membenarkan gol PJ City dan pada perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC.


Keputusan salah yang dilakukan oleh pengadil itu telah menimbulkan kemarahan orang ramai terutamanya peminat skuad Tok Gajah.

Mana tidaknya pada perlawanan menentang PJ City setelah gol dijaringkan, jelas kelihatan pengadil garisan mengangkat bendera mengesahkan berlakunya offside tetapi setelah dikerumuni pemain PJ City, pengadil utama membenarkan jaringan tersebut.

Setiap musim, isu ini sudah menjadi norma di dalam liga dan walaupun saban tahun isu ini diketengahkan di dalam media, perkara yang sama tetap berlaku

Namun begitu, satu persoalan harus diketengahkan. Jika semua pengadil buruk di mata peminat bola sepak tanah air, siapa yang nak jadi pengadil?

Untuk pengetahuan, proses untuk menjadi pengadil penuh dengan kursus yang perlu dihadiri terutamanya jika seseorang itu mahu mencapai status profesional.

Bukan mudah untuk mencapai status profesional dan ini dibuktikan apabila Liga Malaysia (Liga-M) masih menggunakan khidmat pengadil amatur dalam perlawanan liga.

Sudah beberapa tahun liga bertukar menjadi profesional tapi penggunaan pengadil amatur telah menjadi suatu norma di dalam Liga M.

Pengadil amatur ini kebanyakannya hanya melakukan kerja tersebut sebagai sumber pendapatan mereka yang kedua. Livelihood mereka tidak bergantung kepada karier mereka sebagai pengadil. Sekalipun mereka melakukan kesilapan, mereka masih ada kerja lain di luar sana.

Berbeza dengan pengadil profesional, kerjaya sebagai pengadil ialah sumber pendapatan utama mereka. Situasi ini secara tidak langsung menyebabkan mereka takut untuk melakukan kesilapan berbanding pengadil part time.

Jelas bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk memperbaiki mutu pengadilan negara. Meskipun ia agak sukar, pihak bertanggungjawab perlu memastikan kualiti pengadilan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.