Semua pihak yang terlibat bersalah jika skuad B-23 gagal di Sukan SEA

164

Jurulatih pasukan Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berpendapat bahawa sekiranya skuad negara B-23 gagal dalam Sukan SEA, semua pihak yang terlibat seperti FAM dan kelab-kelab Liga-M perlu bertanggungjawab atas keputusan tersebut.

Memandangkan kejohanan Sukan SEA tiada dalam kalendar FIFA, kebanyakan kelab seperti teragak-agak untuk melepaskan pemain muda mereka untuk menyertai pasukan kebangsaan ke Hanoi, Vietnam.


“Jika pemain tidak dapat dilepaskan, apakah sasaran pingat yang kita letakkan? Kita harus revise dan berfikir secara realistik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

“FAM juga perlu faham situasi tersebut. Apabila kelab-kelab enggan melepaskan pemain mereka, secara tidak langsung tak logik sekiranya mereka ingin meletakkan sasaran yang tinggi untuk pasukan negara.

“Sekiranya penyokong boleh memahami keputusan teruk ekoran ketiadaan pemain-pemain utama dalam pasukan kebangsaan, FAM seharusnya lebih arif daripada penyokong.”

Tambah Kim Swee, ada juga pakar bola sepak yang mengatakan bahawa Sukan SEA tidak penting kerana ia hanyalah pertandingan di peringkat Asia Tenggara.

Namun begitu, apabila pasukan kebangsaan kalah sahaja, mereka akan menjadi orang pertama yang menyalahkan jurulatih.

Dalam pada itu, Kim Swee juga berkata beliau setuju dengan kenyataan rata-rata peminat tanah air yang mahukan kejohanan Sukan SEA dijadikan sebagai medan ujian terakhir sebelum pasukan B-23 negara berentap di kejohanan Piala Asia.

“Saya percaya itu merupakan satu perkara yang paling baik. Kita tak harus meletakkan sasaran yang tinggi tetapi di mana pemain yang terbaik disediakan, (ketua jurulatih) Brad Maloney harus menggunakan peluang ini untuk mendapatkan pemain-pemain utama untuk diuji.”

Bukan itu sahaja, Kim Swee turut menekankan bahawa skuad Sukan SEA harus diberikan masa yang mencukupi untuk menyesuaikan diri bermain bersama-sama.

“Hal ini kerana, kebanyakan pemain B-23 tidak mendapat minit yang mencukupi di atas padang.

“Rata-rata daripada mereka menjadi sebahagian daripada rotasi pasukan dan ada juga yang hanya duduk di bangku simpanan.

“Bukan senang untuk menemukan kembali rentak permainan lebih-lebih lagi jika seseorang pemain itu sering memanaskan bangku simpanan.”