Tak mungkin saya akan bermain di Eropah – Chanathip Songkrasin
Kapten pasukan kebangsaan Thailand yang juga pemain Kawasaki Frontale, Chanathip Songkrasin berkata beliau tidak mungkin akan bermain di Eropah.
“Ianya tidak akan berlaku,”
katanya ringkas kepada Harimau Malaya.
Chanathip, yang lebih dikenali sebagai “Messi Jay”, merupakan pemain dari Asia Tenggara yang menjadi bualan ramai peminat bola sepak di Asia apabila beliau yang berjaya memimpin skuad Gajah Putih merangkul trofi Piala AFF 2020 menjadi salah seorang pemain termahal di J-League selepas berhijrah ke gergasi Kawasaki Frontale.
Kelibat Chanathip yang tidak kelihatan ketika perlawanan pertama juara J-League dalam saingan AFC Champions League (ACL) menentang Ulsan Hyundai baru-baru ini menjadi tanda tanya samada beliau akan diturunkan atau hanya akan memanaskan bangku simpanan sahaja sepanjang kempen.
Bagaimanapun pemain berusia 28 tahun itu telah diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang pasukan Guangzhou FC sebentar tadi yang mana beliau menjaringkan satu gol cantik membantu pasukannya menang besar 8-0.
Malah, beliau juga bermain selama 90 minit yang mana menyaksikan beliau kerap memberi masalah buat barisan pertahanan lawan dengan hantaran-hantaran berbahaya.
Dalam pada itu, ketua jurulatih Kawasaki Frontale, Toru Oniki nyata berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan Chanathip dan pemainnya yang lain.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi pengesahan samada Chanathip akan diturunkan ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 21 April ini.
“Kami perlu melihat situasi dan tahap kecergasan beliau terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan samada mahu menurunkannya atau tidak dalam kesebelasan utama,”
ujarnya ketika sidang media selepas tamat perlawanan sebentar tadi.
Dalam pada itu, Chanathip turut mengakui berdepan sedikit kesukaran apabila berhijrah dari Hokkaido Consadole Sapporo ke Kawasaki Frontale.
“Ya memang saya berdepan sedikit kesukaran apabila berpindah ke Kawasaki kerana ada perbezaan di kedua-dua kelab ini dan saya perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Bagaimanapun saya akan terus berikan yang terbaik untuk pasukan baru saya.”
Terdahulu, Chanathip menjadi inspirasi kepada ramai pemain-pemain muda di Asia Tenggara kerana beliau telah membuktikan walaupun dirinya bersize kecil iaitu berketinggian 1.59 meter, beliau masih mampu bersaing di liga terbaik di Asia iaitu di J-League bersama kelab juara bertahan.