Kami telah buktikan kami mampu lawan sesiapa sahaja – Fernando Forestieri

4,711

Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri berkata beliau dan rakan sepasukan telah membuktikan bahawa mereka mampu menentang sesiapa sahaja.

Forestieri berkata demikian selepas JDT membuat kejutan dengan menewaskan juara bertahan dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1 semalam dalam perlawanan kedua kumpulan I saingan AFC Champions League (ACL).


“Kami mempunyai ramai pemain berkualiti dan hari ini (Isnin) kami telah buktikan yang kami mampu menentang mana-mana pasukan.

“Saya juga tidak kisah siapa sahaja yang menjaringkan gol kerana paling penting adalah pasukan kami menang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Forestieri membuka tirai jaringan seawal minit ke-3 menerusi satu rembatan padu menerjah gawang lawan.

Namun semangat juang yang tak pernah luntur menyaksikan Ulsan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-52 menerusi jaringan Um Wong-song.

Bagaimanapun JDT mengesahkan kemenangan mereka pada minit ke-80 selepas Bergson menjaringkan gol.

Walaupun baru sahaja masuk dalam pasukan JDT sejak beberapa bulan yang lalu, namun pemain berusia 32 tahun dapat melihat keserasian yang ada dalam pasukan cukup baik sekaligus memudah dirinya menyesuaikan diri.

Dalam pada itu, ditanya samada beliau sudah bersedia untuk menentang Kawasaki Frontale yang berjaya membelasah Guangzhou FC 8-0 pada sebelah petang semalam, Forestieri akui sudah bersedia dan tak gentar.

“Saya mempunyai latar belakang bermain bola sepak jalanan dan saya sendiri tidak pernah fikirkan kesukaran sebaliknya saya bersedia untuk hadap mana-mana pasukan.”

Pada 21 April ini, JDT bakal bertemu pasukan gergasi dari Jepun iaitu Kawasaki bagi merebut  tahkta puncak kumpulan I dalam ACL.