Junior Eldstal nafi bakal kembali ke JDT

1,217

Pemain Chonburi FC, Junior Eldstal menyangkal dakwaan kononnya beliau akan kembali menyertai kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim hadapan.

Junior bagaimanapun tidak menafikan untuk kembali beraksi di saingan Liga Malaysia berikutan kontraknya bersama kelab dari Thai League 1 akan tamat pada bulan Mei ini.


“Apa yang saya boleh katakana adalah perkara itu hanyalah khabar angin dan tidak benar. Kita semua tahu bola sepak memang macam ini. Kontrak saya akan tamat bulan Mei ini, jadi saya akan jadi pemain bebas.

Mungkin ada berita pasukan di Malaysia nak saya balik saya tak tahu la, tapi buat masa ini memang tiada,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu pemain kacukan Malaysia-Sweden ini dikatakan bakal kembali ke pasukan Harimau Selatan berikutan hubungan baiknya dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Pemain berusia 30 tahun itu mengakui sememangnya rapat dengan TMJ tetapi mereka tidak pernah membincangkan soal perpindahannya sebaliknya hanya berhubung sebagai rakan baik sahaja.

Junior berhijrah ke saingan Thai League 1 pada tahun 2019 bersama pasukan Metropolitan Police sebelum berhijrah ke Chonburi pada tahun lalu.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman bermain di sana, Junior mengakui kualiti yang ada pada Thai League 1 dengan kualiti Liga Malaysia sangat jauh berbeza.

“Kita semua sedia maklum liga sini antara yang paling berkualiti di rantau Asia Tenggara. Mereka bukan sahaja mempunyai stadium dan padang yang cantik, tetapi juga menggunakan sistem VAR (Video Assistant Referee).

Di sini juga liga kami sangat kompetitif yang mana setiap musim kami mempunyai 7-8 pasukan yang mampu merebut kejuaraan liga dan bukannya seperti Liga Malaysia yang kita dapat melihat hanya didominasi oleh JDT sahaja lebih lapan musim.”

Dalam pada itu, Junior mengakui penyumbang utama kejayaan sesebuah kelab bola sepak adalah kedudukan kewangan yang kukuh.

Beliau berkata perkara itu dapat dilihat beberapa kelab di Thailand seperti Buriram United dan BG Pathum United merupakan antara kelab terkaya di Thai League 1 yang menyaksikan hampir kesemua pemain kebangsaan Thailand bermain untuk kedua-dua kelab itu selain mereka mampu mengambil pemain import yang cukup berkualiti.

Dalam pada itu, Junior juga menyuarakan keyakinannya terhadap rakan sepasukannya iaitu pemain muda Kritsada Kaman yang dilihat mampu menjadi ‘the next Chanathip Songkrasin’ berikutan beliau mempunyai corak permainan seperti seorang pemain yang berpengalaman luas.

Malah tidak mustahil untuk Kritsada bermain di liga tertinggi di Asia seperti J-League, mahupun dapat bermain di Eropah.

Sementara itu, ditanya mengenai prestasi semasa skuad Harimau Malaya, Junior mengakui terdapat sedikit perubahan yang berlaku di bawah kendalian Kim Pan-gon.

Beliau mengakui pemain negara sebenarnya mampu untuk menyaingi mana-mana pasukan lain tetapi mereka perlu ubah mentaliti.

“Saya boleh katakan kalau satu lawan satu, pemain negara tiada masalah tetapi kita perlu ubah mentaliti terlalu menghormati pihak lawan berikutan mereka adalah pasukan yang lebih baik dari Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dilakukan, kita mampu melangkah dengan lebih jauh.”