Pemain import jadi punca negara ketandusan penyerang berkualiti – Tharmini Saiban

7,127

Bekas pemain pertahanan kebangsaan dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Tharmini Saiban mengakui kuota pemain import yang banyak menjadi punca Malaysia ketandusan penyerang berkualiti.

Menurut Tharmini, sejak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperkenalkan kuota lima pemain import, rata-rata pasukan mengambil kesempatan dengan membawa masuk pemain import di posisi penyerang.


“Apabila FAM tambah kuota kepada lima, banyak pasukan yang gunakan peluang untuk bawa masuk pemain import untuk posisi penyerang, jadi ia menjadi punca kita ketandusan penyerang tempatan berkualiti.

Malah jika sesebuah pasukan itu bermain dengan dua penyerang, mereka tetap akan gunakan dua penyerang import sekaligus tiada peluang untuk penyerang tempatan untuk beraksi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Oleh itu beliau berharap sangat FAM dapat melakukan sesuatu mengenai isu ini kerana ia akan memberi impak kepada skuad Harimau Malaya.

Sebelum kuota lima import diperkenalkan, saingan Liga Malaysia ketika itu hanya membenarkan tiga import sahaja, namun pada tahun 2009 seingga 2011 pemain import diharamkan.

Ketika ini skuad kebangsaan berjaya mengecapi kejayaan merangkul pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2011 serta Piala AFF pada tahun 2010.

Dalam pada itu, Tharmini setuju dengan program naturalisasi pemain, bagaimanapun beliau mahu pihak FAM buat penelitian yang betul-betul sebelum ambil keputusan untuk memberi kerakyatan kepada pemain.

“Kita ada program naturalisasi, tapi kalau nak bagi kerakyatan kepada pemain FAM perlu ambil pemain yang muda dan bukannya sudah berusia. Jika ambil pemain yang dah berusia nanti mereka hanya baki beberapa tahun sahaja lagi dapat memberi khidmat mereka kepada negara.”

Sementara itu, Tharmini juga meluahkan rasa kagumnya terhadap kepimpinan pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang berjaya menjadikan kelab itu salah sebuah kelab terbesar di Asia Tenggara.

“Saya sangat bangga dengan pencapaian yang dikecapi oleh JDT. Apa yang TMJ cakap pada mula baginda ambil alih kelab ini sudah menjadi realiti dan mereka akan terus mencipta sejarah demi sejarah pada masa akan datang.”

Walaupun tidak dapat menjulang trofi ketika bersama JDT, namun beliau bangga apabila dapat mengakhiri karier bola sepaknya di sebuah kelab besar seperti JDT.

Pada masa sama beliau turut berkata saingan Liga Malaysia memerlukan lebih banyak kelab seperti JDT untuk menjadikan saingan liga lebih kompetitif sekaligus menaikkan kualiti liga tempatan.