Kroni punca Favlain tak terpilih ke Sukan SEA

2,544

Pemain E-Sport FIFA, Faiz ‘Favlain’ Hariry mendedahkan beliau tidak terpilih untuk ke temasya Sukan SEA, Hanoi pada bulan Mei depan kerana berlakunya campur tangan dari pihak ketiga.

Menurut Faiz yang merupakan dari Orange Esports Team, pasukannya telah menyertai satu pemilihan ke Sukan SEA oleh Malaysia Esports Federation (MESF) dan pasukannya telah menang.


“Kalau berdasarkan atas kertas selepas menang kami sepatutnya terpilih untuk ke Sukan SEA tetapi sebaliknya berlaku.

Pemilihan telah dibuat oleh pihak ketiga dan bukannya dari MESF menggunakan kuasa mereka untuk pilih pemain mereka untuk ke Sukan SEA secara terus tanpa perlu sertai proses pemilihan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Faiz berkata selalunya untuk pemilihan bagi mewakili Malaysia, setiap pemain perlu jalani proses pemilihan dari bawah dan bukannya mendapat direct invitation seperti yang berlaku ketika ini.

Bercerita lanjut mengenai pihak ketiga itu, Faiz berkata beliau telah dihubungi oleh pihak ketiga tersebut yang meminta beberapa dokumen seperti passport, portfolio kejayaannya dan sijil digital vaksin.

Bagaimanapun apabila tiba waktu mengumumkan pemain yang akan mewakili negara, beliau terkejut apabila namanya tidak terpilih.

“Apabila saya dapati nama saya tidak terpilih saya terus hubungi pihak ketiga itu untuk tanyakan sebab. Tapi apa yang mengejutkan saya apabila pihak ketiga itu bercakap pemilihan pemain dibuat berdasarkan komitmen dan bukannya pencapaian. Saya sendiri tak faham komitmen yang dimaksudkannya.”

Dalam pada itu, Faiz berkata pihak pengurus pasukan Orange sudah pun cuba berjuang untuk memastikan beliau dapat ke Sukan SEA tetapi akhirnya terpaksa akur dengan keputusan tersebut.

Tidak mahu memanjangkan isu ini, Faiz berharap agar selepas ini sukan E-Sports tidak lagi akan berdepan situasi seperti yang berlaku pada dirinya iaitu campur tangan dari pihak ketiga.

Beliau juga harap pemilihan pemain untuk mewakili negara selepas ini akan lebih telus dan berdasarkan kelayakan dan bukannya secara kroni.