Tiada alasan lagi untuk skuad Brad Maloney tidak raih pingat emas di Sukan SEA

209

Setiap tahun pasti akan timbul isu pasukan dalam Liga Malaysia enggan melepaskan pemain mereka apabila dipanggil untuk menyertai kem negara.

Antara salah satu faktornya adalah pelanggaran jadual liga yang mana ia akan menjejaskan prestasi pasukan yang bersaing dan ia berlaku lagi pada tahun ini apabila hanya lima pemain sahaja melapor diri pada hari pertama latihan berpusat untuk skuad B-23 kendalian Brad Maloney baru-baru ini.


Maloney kini sedang membuat persiapan untuk skuadnya mengharungi temasya Sukan SEA Hanoi yang akan berlangsung pada 6 hingga 22 Mei depan.

Sumber foto: FAM FB

Berikutan banyak pasukan tidak mahu melepaskan pemain, Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa membuat keputusan drastik dengan menundaan saingan Liga Malaysia.

Minggu lalu MFL telah mengumumkan penundaan jadual membabitkan perlawanan ketujuh hingga ke-10 bagi memberi laluan kepada persiapan skuad B-23 dan juga skuad senior.

Apabila penundaan liga dibuat, maka tiada alasan lagi buat Maloney untuk memastikan ibu segala pingat di Sukan SEA iaitu pingat emas menjadi milik Malaysia.

Walaupun berdepan tugas yang sukar, namun ia tidak boleh dijadikan alasan lagi selepas MFL/FAM menunda saingan liga demi memberi peluang kepada Maloney untuk mempersiapkan pasukannya.

Untuk memastikan pingat emas dalam tangan, Maloney perlu menurunkan skuad terkuatnya bagi memastikan mereka berjaya capai misi dan sasaran.

Skuad Harimau Malaya akan membuka tirai saingan bertemu Thailand pada 7 Mei, Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei).

Sumber foto: FAM FB

Tahun 2022 merupakan tahun yang cukup sibuk buat skuad B-23 negara kerana mereka bukan sahaja akan beraksi di Sukan SEA sahaja tetapi mereka juga mempunyai dua lagi kejohanan besar iaitu Piala AFC B-23 di Uzbekistan pada Jun.

Pada September pula, anak buah Maloney akan beraksi dalam temasya Sukan Asia Hangzhou, China.

Terdahulu, Maloney telah memanggil sebanyak 31 pemain untuk sertai latihan berpusat yang mana menyaksikan pemain Selangor FC paling ramai dipanggil iaitu sebanyak 11 pemain diikuti Terengganu FC (9), Johor Darul Ta’zim (4), KL City FC (2), Projek FAM-MSN (1), Negeri Sembilan FC (1) serta Kedah Darul Aman FC (1).

Dua pemain yang berpengkalan di luar negara iaitu Luqman Hakim dan Hadi Fayyadh turut dipanggil untuk memperkuatkan pasukan.

Sumber foto: FAM FB

Walaupun pemain sayap lincah JDT iaitu Arif Aiman tidak tersenarai kerana ketika ini sedang beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL), namun Maloney mempunyai ramai pemain muda berbakat besar yang mampu menggantikan tempatnya.

Dengan berita gembira yang diumumkan baru-baru ini, penyokong kini mula menaruh harapan tinggi buat skuad B-23 negara untuk meraih kejayaan.