Amri Yahya bakal kembali sarung jersi Harimau Malaya?
Makin berusia makin ‘menggila’ di atas padang! Itulah yang boleh diperkatakan kepada pemain Sabah FC, Amri Yahya yang telah meledak hat-trick sekaligus membantu pasukannya benam Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 4-0 di laman sendiri.
Apa yang membuatkan gol oleh Amri lebih istimewa adalah beliau bukannya seorang pemain muda sebaliknya sudah berusia 41 tahun tetapi masih mampu mempamerkan aksi mengalahkan pemain-pemain muda. Usia hanya angka buat Wak Am!
Amri membuka akaun jaringan pada minit ke-50 menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti sebelum Park Taesu melebarkan kedudukan kepada 2-0 dua minit kemudian.
Usia bukanlah penghalang buat Amri apabila beliau menjaringkan dua lagi gol pada minit ke-61 dan ke-71.
Gol kedua dijaringkan menerusi rembatan cantik dalam kotak penalti, tetapi gol yang menjadi buah mulutu peminat sudah semestinya gol ketiganya yang mana beliau menjaringkan gol tersebut menerusi satu sepakan lambung sekaligus memerangkap penjaga gol Kedah iaitu Ilham Amirullah.
Kemenangan besar skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu menyaksikan Sabah kembali merampas kedudukan kedua dalam saingan Liga Super.
Dalam pada itu, ada peminat yang mengatakan Amri berkata seperti pemain berusia 40an, jaringkan gol seperti pemain berusia 30an dan meraihkannya seperti pemain berusia 20an.
Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh Amri adalah sesuatu yang amat jarang kita lihat dalam kalangan pemain berusia 35 tahun ke atas. Sesungguhnya luar biasa.
Malah apa yang membuatkan ia lebih hebat adalah setiap gol yang dijaringkannya bukanlah gol biasa tetapi gol yang menakjubkan.
Kualiti yang ada pada penyerang Sabah itu masih belum ada pada penyerang muda tempatan lain.
Adakah prestasi cemerlang yang dipamerkan akan menarik perhatian ketua jurulatih skuad negara Kim Pan-gon untuk memanggil semula Amri untuk menyarung jersi Harimau Malaya? Tiada yang mustahil.
Apa-apa pun, Amri sepatutnya mendapat pengiktirafan sebagai penjaring hat-trick paling berusia di Liga Super.