Pandemik COVID-19 jadi punca Azmi Ibrahim tak dapat teruskan dengan Kedah

1,405

Jurulatih kecergasan Azmi Ibrahim mendedahkan pandemik COVID-19 menjadi faktor kontraknya bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak dapat diteruskan.

Menurut Azmi, bukannya ada isu dalaman tetapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak lagi membenarkannya untuk menjadi jurulatih kecergasan pasukan berikutan beliau tidak mempunyai lesen A1 dan A2.


“Saya memang mahu ambil lesen jurulatih kecergasan sejak 2019 tapi disebabkan pandemic COVID-19 kursus terpaksa ditunda jadi sebab itulah saya tak dapat ambil dan atas sebab itu juga saya tidak dapat terus bersama pasukan Kedah lagi.

Untuk tahun ini fokus saya adalah untuk ambil lesen A1 dan A2,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Azmi berkata sebelum ini FAM telah mengeluarkan satu surat khas kepadanya untuk meneruskan kerjanya sebagai jurulatih kecergasan, namun dalam surat hanya membenarkan saya berbuat demikian sehingga bulan Jun tahun lalu sahaja.

Untuk rekod, Azmi memulakan kerjayanya sebagai jurulatih kecergasan di Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mana beliau bukan sahaja melatih skuad utama tetapi juga skuad JDT II.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh beliau telah mendapat perhatian kelab bola sepak dari Singapura iaitu Home United FC yang kini dikenali sebagai Lion City Sailors FC ketika itu dikendalikan oleh Aidil Sharin Sahak.

Ketika di sana, Azmi berjaya membantu pasukan itu layak ke saingan Piala AFC sebelum kembali ke tanah air.

Keputusan untuk pulang ke Malaysia dibuat selepas diajak oleh Aidil Sharin yang mendapat tawaran beberapa kelab di Liga Malaysia.

“Selepas setahun bersama Home United, jurulatih Aidil mendapat beberapa tawaran dari pasukan dari Liga Super dan salah satunya adalah Kedah. Saya katakan padanya pergilah jika mahu, dan beliau bersetuju dan kemudian mengajak saya sekali.”

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai pengalamannya sebagai jurulatih kecergasan pasukan bola sepak beliau mengakui ia mempunyai cabarannya tersendiri.

Antaranya adalah perlu pastikan kesemua pemain dapat mengikuti setiap program latihannya.

Azmi bagaimanapun meluahkan rasa syukurnya apabila beliau tidak berdepan masalah dengan pemain langsung, malah mereka sanggup datang untuk latihan tambahan untuk memantapkan lagi tahap kecergasan mereka.

“Ketika saya bersama Kedah, pemain memberikan kerjasama yang sangat bagus termasuklah pemain import seperti Renan Alves, Kpah Sherman dan Kipré Tchétché. Ada juga pemain yang mengambil inisiatif untuk melakukan latihan tambahan antaranya Zaquan Adha.

Zaquan adalah antara pemain senior yang sangat berdisiplin yang mana beliau sentiasa datang ke latihan awal dan akan buat latihan tambahan. Saya yakin beliau akan teruskan latihan seperti biasa walaupun beliau kini bermain bersama Negeri Sembilan FC.”

Sementara itu, Azmi berkata sebagai jurulatih kecergasan beliau dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dengan pemain-pemain.