Segelintir akademi bola sepak dakwa FAM Charter SupaRimau sebagai ‘scam’
Nampaknya semakin banyak pula masalah timbul dalam dunia bola sepak tanah air ketika ini. Tak cukup dengan masalah di Liga Malaysia, nampaknya masalah terus melarat sehingga ke bola sepak akar umbi.
Terbaru jurulatih Tunas Patriot Cyber FC (TPCFC), Sypudin Ramli tampil menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap program Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Charter SupaRimau yang disifatkan sebagai satu ‘scam’.
“Dulu saya kongsi sebab ingat manfaat untuk yang dah bersusah payah buka laptop, daftar link, isi borang online, senaraikan nama pemain, nama jurulatih, senaraikan program-program dan lain-lain sampai letih dan kemudian bayar yuran. Cukup hujung 2021 dapat emel suruh renew, bayar lagi barulah boleh guna logo Charter SupaRimau.
Tapi bila semak balik manfaat yang diwar-warkan hanya ‘scammer’. Kesian yang dah bayar yuran daftar dan yuran renew, sebab tanpa Charter pun boleh join Liga SupaRimau,”
katanya.
Bercakap kepada Harimau Malaya, Sypudin berkata beliau yang mewakili akademi-akademi bola sepak lain tampil mendedahkan perkara ini kerana merasa mereka telah ditipu sebab akademi yang tidak berdaftar Charter SupaRimau dapat juga masuk Liga SupaRimau.
“Anda bukan ahli Charter SupaRimau pun anda masih boleh daftar Liga SupaRimau. Jangan membazirkan wang pendaftaran dan wang renew tahunan. Gunakan wang tersebut untuk buat bayaran pendaftaran Liga SupaRimau.”
Pada Mei 2019 FAM telah melancarkan FAM Charter SupaRimau yang mana ia merupakan program untuk bantu akademi bola sepak dalam aktiviti pembangunan akar umbi.
Dalam pada itu, Sypudin berkata isu tersebut mula berlaku selepas perlantikan Ketua Unit Pembangunan Akar Umbi di FAM iaitu Cameron Leon Ng.
Ini kerana Cameron didakwa tidak mengikut dengan apa yang telah dibincang dan dipersetujui sebelum ini.
Diharap FAM dapat memantau perkara ini dan bertindak lebih adil kepada semua akademi supaya tiada isu yang berbangkit kerana ia akan menjejaskan banyak pihak.
Semoga isu ini dapat diselesaikan dengan segera.