Sudah tiba masanya larangan nyalakan suar dalam stadium diangkat! #PyroIsNotACrime

618

Baru-baru ini kecoh apabila penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) telah membakar suar/pyro ketika dalam stadium yang mana ia telah mencetuskan perbalahan di kalangan peminat bola sepak tanah air.

Semalam kecoh di media sosial apabila ada dakwaan kononnya TFC akan dikenakan tindakan manakala kes membabitkan JDT tiada sebarang berita.


Bagaimanapun Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar menjelaskan tiada layanan double standard kerana kedua-dua kelab telah pun diberikan surat untuk dipanggil dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tataterbit FAM.

Nasib kelab JDT akan diputuskan pada esok Jumaat (29 April), manakala TFC pula pada 5 Mei depan.

Berbalik kepada isu suar/pyro yang diharamkan oleh FAM, rata-rata peminat merasakan suar/pyro tak perlu diharamkan kerana ia akan memeriahkan lagi suasana di dalam stadium ketika perlawanan.

Pengharaman suar/pyro ini dibuat kerana didakwa berbahaya dan boleh mencederakan penyokong, tetapi jika berfikiran cetek seperti itu peralatan seperti gendang, drum dan botol air juga bahaya kerana ia boleh digunakan sebagai senjata juga.

Suar/pyro sangat sinonim dengan dunia bola sepak di Eropah dan Amerika Selatan.

Memandangkan prosedur operasi standard (SOP) akan dilonggarkan pada 1 Mei ini dan penyokong juga boleh membanjiri stadium dan meriahkan suasana bola tempatan.

Pada bulan Jun ini skuad Harimau Malaya akan bersaing dalam kelayakan Piala Asia yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Memandangkan sudah beberapa tahun tiada perlawanan berlansung di SNBJ, maka kelayakan Piala Asia perlukan sokongan padu daripada penyokong.

Dalam kemeriahan penyokong yang datang menyokong, sudah semestinya ada penyokong tegar yang akan membawa suar/pyro untuk menghangatkan lagi suasana dalam stadium.

Bayangkan luangan chant Harimau Malaya bergema bersama suar/pyro, ia pasti akan membakar semangat pemain negara yang akan turun beraksi.

FAM boleh mengangkat larangan menyalakan suar/pyro dalam stadium dengan menekankan soal disiplin dalam kalangan penyokong selain kawalan keselamatan harus diperketatkan.

Ini kerana ketika ini kawalan keselamatan dalam setiap perlawanan tampak agak longgar apabila masih ramai penyokong yang berjaya menyeludup mercun dan membaling ketika berada di dalam stadium dan juga di luar.

Malah sebelum ini juga tular insiden pergaduhan dan baling mercun antara dua penyokong telah menyebabkan beberapa penyokong tidak bersalah menjadi mangsa apabila mereka tercedera akibat terkena mercun.

Pokok pangkalnya adalah, FAM boleh membenarkan penyokong menyalakan suar/pyro dalam stadium tetapi perlu pastikan penyokong berdisiplin dan yang paling penting kawalan keselamatan lebih ketat supaya dapat mengelak dari sebarang kejadian tidak diingini berlaku.