Kelab perlu ‘ukur baju di badan sendiri’ – Nurshamil Ghani

3,467

Penyerang berbisa Kelantan FC, Nurshamil Ghani gembira bersama dengan pasukannya ketika ini kerana kelab milik ahli perniagaan Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham diuruskan secara profesional.

Menurut Nurshamil, Zamsaham tidak mengikut seperti kelab lain yang berbelanja besar, sebaliknya Kelantan mengamalkan konsep ‘ukur baju di badan sendiri’ dan ia telah terbukti menjadikan kelab itu bebas dari sebarang masalah.


“Saya rasa apa yang dilakukan oleh Zamsaham boleh dijadikan contoh kepada kelab-kelab lain iaitu mereka perlu ‘ukur baju di badan sendiri’. Jika mereka mempunyai bajet yang sedikit tetapi nak berbelanja besar, maka nanti mereka pasti akan berdepan masalah.

Jadi saya rasa setiap kelab perlu meneliti terlebih dahulu bajet yang mereka ada supaya mereka dapat berbelanja mengikut bajet yang ada,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kelantan kini berada di puncak Liga Perdana selepas enam perlawanan yang mana menyaksikan mereka telah menang lima kali dan hanya tewas sekali.

Nurshamil turut menyuarakan keyakinannya terhadap kemampuan Kelantan untuk naik ke Liga Super pada musim hadapan berdasarkan prestasi semasa pasukan.

Pemain berusia 27 tahun ini dilabel sebagai seorang pemain bertuah kepada mana-mana kelab yang diwakilinya kerana beliau antara pemain yang membantu Melaka United FC dari Liga FAM hingga ke Liga Perdana dan kini sedang membantu Kelantan untuk naik ke Liga Super pula.

“Saya tak anggap ia sebagai bertuah tetapi ianya sebagai rezeki. Mana-mana pasukan yang saya pilih Alhamdulillah ada rezeki dan InsyaAllah jika diberi rezeki lagi, Kelantan mampu naik ke Liga Super pada musim hadapan.”

Dalam pada itu, Nurshamil berharap agar penyokong Kelantan dapat kembali memberi sokongan padu kepada pasukan kerana umum mengetahui pasukan Kelantan antara salah sebuah pasukan yang mempunyai penyokong fanatik.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen