TBG Mobs nafi seleweng, ambil komisyen dari kempen Solidariti RM1 Perak FC
Perak FC dan masalah seperti berpisah tiada. Itulah yang berlaku pada pasukan Perak ketika ini apabila terbaru ada pihak yang mendakwa pihak bahawa Persatuan Penyokong Bola Sepak Perak atau TBG Mobs dituduh menyeleweng dan mengambil komisyen dari derma orang ramai.
Ini kerana sebelum ini TBG Mobs telah mengadakan kempen Solidariti RM1 Perak FC yang mana mereka telah berjaya mengutip RM46,000 yang mana wang tersebut diagihkan kepada pemain dan pegawai pasukan.
Setiausaha Kehormat TBG Mobs, Hakimi Abd Halim bagaimanapun telah tampil menyangkal dakwaan tersebut dengan mengatakan tuduhan itu tidak berasas.
“Saya berasa agak terkilan dengan tuduhan yang dilemparkan kepada saya ini kerana pihak yang menuduh saya ada nombor saya, jadi kenapa mereka tak call saya terus untuk bertanyakan soal ini.
Tuduhan kata saya ambil komisyen atau seleweng adalah tidak benar. Saya juga telah membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang. Walaupun pihak itu sudah memadam posting tuduhan itu, saya tetap mahu pihak tersebut tampil membuat permohonan maaf secara terbuka,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Hakimi berkata demikian kerana mahu pihak tersebut membersihkan namanya selepas menuduh pihaknya menyeleweng.
Sekiranya pihak itu dapat membuat permohonan maaf secara terbuka, beliau bersedia untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang.
Beliau tidak menafikan bahawa terdapat pihak yang ingin menjatuhkannya, oleh sebab itu beliau tampil mendedahkan supaya penyokong Perak dapat tahu cerita yang sebenarnya.
Hakimi juga berharap dengan penjelasannya ini, tiada lagi fitnah atau spekulasi yang bukan-bukan membabitkan dirinya dan juga persatuan.
Dalam pada itu, Hakimi turut meluahkan rasa bersyukur dan terujanya apabila salah sebuah syarikat telco terbesar negara iaitu XOX Berhad akan mengambil alih pasukan Perak.
“Kami sangat berharap akan ada sinar harapan baru buat pasukan Perak kerana kita tahu XOX ini adalah sebuah syarikat yang besar dan mempunyai kewangan yang kukuh.”
Beliau juga meluahkan rasa tidak sabarnya untuk menanti jendela perpindahan kedua pada bulan Mei ini kerana pemain yang dikenakan larangan bermain sebelum ini akan dapat turun beraksi.
Malah Hakimi juga tiada masalah sekiranya nama pasukan Perak ditukar kepada XOX Perak FC atau Perak XOX FC.
“Bagi saya tiada masalah langsung kerana XOX mempunyai hak tersebut berikutan mereka adalah pemilik pasukan. Apa yang penting adalah nama Perak itu perlu ada.”