Isu gaji Perak FC berlaku sejak Jan 2021, kenapa tak salah CEO & BOD ketika itu? – TBG Mobs

179

Setiausaha Kehormat Persatuan Penyokong Bola Sepak Perak FC (TBG Mobs), Hakimi Abd Halim tidak menafikan ramai penyokong marah apabila pihak Impact Media & Communication Sdn Bhd (IMC) mengambil pendekatan mendiamkan diri susulan isu tunggakan gaji yang berlarutan.

Walaupun apa yang berlaku bukannya salah IMC seratus peratus, namun tindakan mereka yang mendiamkan diri menyebabkan mereka menjadi sasaran penyokong.


Bagaimanapun Hakimi menimbulkan persoalan kepada penyokong iaitu mengapa tiada siapa yang menyalahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Lembaga Pengarah (BOD) Perak sebelum IMC mengambil alih.

“Tak dapat dinafikan tindakan mendiamkan diri oleh IMC telah menyebabkan ramai penyokong yang membuat spekulasi terhadap mereka sedangkan mereka juga tersepit ketika itu.

Tetapi saya nak tanya kenapa penyokong tak salahkan CEO dan BOD Perak sebelum IMC ambil alih? Saya tidak mahu sebut siapa tapi siapa yang jadi CEO dan BOD ketika itu? Perak mengalami masalah gaji ketika dibawah kepimpinan mereka,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hakimi berkata demikian kerana mahu menjelaskan perkara sebenar atau kronologi yang berlaku kepada penyokong The Bos Gaurus.

Dengan Perak baru sahaja menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan salah sebuah syarikat telco terbesar di Malaysia iaitu XOX Berhad, beliau berharap ia akan memberi sinar harapan baru buat bola sepak Perak.

Malah Hakimi juga menyeru agar penyokong turun stadium untuk menyokong kesayangan mereka beraksi.

“Penyokong Perak yang ramai-ramai sebelum ini, turunlah stadium. Setakat kita bercakap di media sosial tapi tak turun stadium tak guna juga. Sokong pasukan dengan turun stadium yang mana ia boleh menjana pendapatan kelab dengan penjualan tiket.”

Hakimi berkata walaupun beliau mempunyai pas percuma untuk masuk ke stadium, namun beliau tetap mengeluarkan wang untuk beli tiket kerana mahu membantu pasukan.

Beliau berharap agar pasukan Perak dapat kembali kepada zaman kegemilangan mereka seperti dahulu.