Malaysia berdepan laluan berliku di Sukan SEA Hanoi

3,933

Sebelum berlepas ke Hanoi, Vietnam pasukan B-23 kebangsaan Malaysia berdepan pelbagai masalah seperti kelab tidak melepaskan pemain-pemain berikutan jadual perlawanan di bertembung dengan perlawanan di Liga Malaysia.

Lebih parah lagi, pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih Brad Maloney kebanyakannya merupakan pemain utama pasukan dan memandangkan temasya Sukan SEA tiada dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), maka kelab berhak untuk tidak lepaskan pemain.


Sumber foto: FAM FB

Susulan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) telah mengambil keputusan untuk menunda perlawanan liga membabitkan pasukan yang pemainnya ramai dipanggil untuk sertai kem negara.

Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B yang mana mereka akan memulakan kempen Sukan SEA menentang juara 16 kali Thailand di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.

Sumber foto: FAM FB

Tidak dapat dinafikan Thailand merupakan salah sebuah pasukan pilihan akan menjadi penentu samada skuad kendalian Maloney mampu pergi jauh dalam temasya kali ini atau pun sebaliknya.

Dalam empat perlawanan terakhir, Malaysia telah tewas tiga kali dan hanya menang sekali sahaja, oleh itu perlawanan pertama akan menjadi sangat penting untuk melihat kemampuan sebenar pasukan kebangsaan.

Pada perlawanan kedua skuad Harimau Malaya akan bertemu dengan Laos pada 11 Mei yang mana ia merupakan perlawanan penting buat anak buah Maloney dalam misi membalas dendam berikutan mereka tewas dua kali pada pasukan itu ketika saingan Piala AFF B-23 pada Februari lalu.

Sumber foto: FAM FB

Pada perlawanan terakhir kumpulan, pasukan kebangsaan akan menentang Kemboja pada 16 Mei ini yang merupakan perlawanan wajib menang yang mana ia berkemungkinan akan menjadi perlawanan penentuan samada skuad Maloney mampu layak ke peringkat separuh akhir atau tidak.

Walaupun berdepan laluan berliku, namun Malaysia tetap mempunyai peluang untuk mencipta kejayaan menerusi barisan pemain yang dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan kali ini.

Malah FAM sendiri sudah meletakkan sasaran pingat emas buat skuad Maloney sekaligus dapat mengulangi kejayaan yang pernah dikecapi pada tahun 2009 dan 2011.

Sumber foto: FAM FB

Skuad kebangsaan kali ini juga akan dikuatkan lagi dengan dua penyerang muda sensasi yang beraksi di liga Belgium dan Jepun iaitu Luqman Hakim (K.V. Kortrijk) dan Hadi Fayyadh (Azul Claro Numazu).

Selain itu, beberapa pemain yang beraksi di Liga Super seperti Mukhairi Ajmal, Nik Akif Syahiran, Azri Ghani, Quentin Cheng, Harith Haiqal, Azrin Afiq, Faiz Amer Runnizar, Fahmi Daniel Zaaim dan ramai lagi dijangka mampu membentuk sebuah pasukan yang ampuh.

Untuk temasya kali ini walaupun hanya 20 pemain sahaja ada dalam senarai akhir, namun FAM mengambil langkah berjaga-jaga dengan membawa empat lagi tambahan yang akan turut bersama di Hanoi.

Mereka ini akan berada dalam senarai bersedia bagi menggantikan mana-mana pemain yang tidak dapat beraksi jika positif COVID-19.

Sumber foto: FAM FB

Ia satu percaturan yang bijak oleh FAM kerana ‘sediakan payung sebelum hujan’. Penyokong tidak mahu lagi melihat kejadian yang berlaku sebelum ini berulang semula yang mana ia akan merugikan pasukan kebangsaan sahaja.

Menerusi format Sukan SEA, dua pasukan terakhir setiap kumpulan iaitu A dan B akan layak ke separuh akhir yang akan berlangsung pada 19 Mei.

Manakala perlawanan akhir untuk penentuan pingat emas dan gangsa akan berlangsung pada 22 Mei.