Setuju atau tidak Gonzalo Cabrera sarung jersi Harimau Malaya?

15,136

Beberapa hari kebelakangan ini peminat bola sepak tanah air kecoh dengan khabar angin yang mengatakan pemain sayap sensasi Gonzalo Cabrera bakal kembali menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak lama lagi.

Khabar angin itu nampaknya seperti akan menjadi kenyataan apabila JDT menerusi laman Facebook rasmi mereka iaitu Johor Southern Tigers telah memuat naik gambar seorang pemain JDT dari belakang yang kelihatan seperti Cabrera.


Semuanya akan terjawab tidak lama lagi apabila jendela perpindahan kedua saingan Liga Malaysia akan dibuka.

Jika benar Cabrera kembali menyarung jersi Harimau Selatan, beliau berkemungkinan akan didaftarkan sebagai pemain naturalisasi selepas melepasi syarat lima tahun beraksi di Liga Malaysia.

Tambahan pula Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga sebelum ini telah memaklumkan bahawa mereka tidak akan menghalang mana-mana pasukan yang mahu menaturalisasikan pemain jika seseorang pemain itu cukup syarat.

Apabila ada pemain naturalisasi baru, penyokong bola sepak tanah air terutamanya penyokong Malaysia kini tertanya-tanya samada Cabrera akan dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya atau tidak oleh ketua jurulatih baru Kim Pan-gon.

Sebelum Pan-gon mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe yang mengendalikan skuad negara ketika itu telah memberitahu bahawa Cabrera sememangnya ada dalam perancangannya untuk memperkuatkan pasukan.

Tidak dapat dinafikan Cabrera sememangnya seorang pemain yang berkualiti dan ia telah dibuktikan apabila beliau menjadi antara tonggak utama dalam membantu JDT merangkul pelbagai kejayaan sepanjang kariernya bersama pasukan itu termasuk Liga Super, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia.

Sumber foto: JST FB

Malah beliau merupakan seorang pemain yang sangat tajam di hadapan gol dan ia telah terbukti apabila Cabrera menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman JDT.

Oleh itu, kemampuan Cabrera untuk menyumbang kepada skuad negara sekiranya dipanggil tidak boleh dipertikaikan lagi.

Kudrat pemain naturalisasi sememangnya mampu memberi kelebihan buat pasukan kebangsaan sekiranya pemain itu dapat mengekalkan prestasi yang sama seperti di kelab, maka skuad kebangsaan akan menjadi ampuh.

Bagaimanapun, setiap perkara yang dilakukan sudah pasti ada baik dan buruknya. Sememangnya kelebihan pemain naturalisasi untuk skuad kebangsaan tidak dapat dinafikan tetapi ia juga mempunyai kekurangan.

Pertama sekali usia Cabrera kini sudah pun 33 tahun jadi agak berusia untuk seorang pemain naturalisasi bermain bersama pasukan kebangsaan. Jika pemain itu masih di bawah 30 tahun ia pasti akan memberi kelebihan.

Antara kekurangan lain apabila pemain naturalisasi yang paling ketara dan sering menjadi pertikaian penyokong adalah ia akan menyebabkan ramai pemain tempatan tidak mendapat peluang untuk beraksi untuk negara.

Situasi dalam Liga Malaysia sendiri ketika ini boleh dikatakan sangat sukar untuk pemain-pemain tempatan terutamanya pemain muda untuk mendapat minit permain.

Malah posisi utama seperti penyerang menjadi posisi yang didominasi oleh pemain import dan ia telah menjejaskan peluang penyerang tempatan untuk beraksi.

Susulan itu, kesannya dapat dilihat apabila negara kini ketandusan penyerang prolifik kerana di dalam liga tempatan sendiri jurulatih pasukan tidak memberi kepercayaan dan peluang kepada pemain tempatan khususnya pemain muda untuk turun beraksi.

Jadi berbalik kepada persoalan utama tadi, adakah anda bersetuju sekiranya Cabrera dipanggil untuk bermain untuk Malaysia?