Eksklusif: XOX Berhad mampu pulihkan Perak FC – TBG Mobs

498

Tidak dapat dinafikan penyokong Perak FC nyata teruja apabila syarikat telekomunikasi XOX Berhad telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mengambil alih pasukan itu dari Impact Media & Communication Sdn Bhd (IMC) baru-baru ini.

Disebalik keterujaan penyokong, ada segelintir yang menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kemampuan XOX untuk menguruskan pasukan itu berikutan terdapat laporan berita dari portal Business Today pada Januari lalu melaporkan bahawa syarikat itu mengalami kerugian sejak lima tahun lalu.


Bagaimanapun bagi penyokong setia The Bos Gaurus tidak melihat ia sebagai satu masalah berikutan syarikat XOX bukanlah seperti syarikat perniagaan biasa kerana XOX sebuah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia (BSKL).

“Saya rasa penyokong tidak perlu risau kerana syarikat XOX ini adalah sebuah syarikat yang tersenarai di BSKL yang mana perniagaan mereka membabitkan pelabur, maka adalah satu perkara biasa apabila syarikat mengalami kerugian kerana ia bukan bermakna mereka tiada wang.

Kita sebagai penyokong tidak kira di Perak atau pun di mana-mana sahaja, memandangkan XOX sudah bersetuju untuk ambil alih pasukan, kita sebagai penyokong juga perlulah sokong pasukan dengan menyokong perniagaan XOX yang mana ia secara tidak langsung akan membantu pasukan sendiri,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, kelab bola sepak profesional pada era ini tidak lagi boleh mengharapkan penjualan tiket, barangan eksklusif kelab atau jersi sahaja.

Jelas Hakimi lagi, selepas XOX menandatangani MoU untuk ambil alih Perak, beliau mengambil inisiatif untuk menyokong dengan menukar talian kepada XOX.

“Saya bukan sahaja tukar talian tetapi saya juga mengeluarkan wang sekitar RM1,500 untuk membeli saham XOX. Bagi penyokong yang berkemampuan apa salahnya jika mereka beli saham XOX kerana tidak mahal pun. Beli 100 unit baru RM1,500 sahaja.”

Dalam pada itu, Hakimi juga menyuarakan keyakinannya terhadap XOX mampu mengembalikan zaman kegemilangan Perak satu ketika dahulu kerana mereka mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bidang sukan.

Ini kerana mereka sebelum ini mereka pernah menjadi penaja utama Piala FA 2015, berkolaborasi dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) melancarkan Southern Tigers Club Prepaid pek permulaan.

Malah mereka juga merupakan penaja utama untuk Malaysian Cub Prix dari tahun 2017 hingga 2019.

Sementara itu, Hakimi turut meluahkan rasa bersyukur dan terima kasihnya terhadap Pengerusi XOX iaitu Dato’ Seri Abdul Azim yang juga merupakan anak watan dari Batu Gajah, Perak apabila mengambil keputusan untuk mengambil alih pasukan yang ketika ini berada dalam terumbang-ambing.

Oleh itu Hakimi menyeru agar seluruh penyokong Perak untuk terus memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka agar skuad kendalian Yusri Che Lah akan kembali menjadi gergasi seperti dahulu.