FAM harap 425,000 penyokong dapat penuhi SNBJ Mei dan Jun ini

4,050

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap agar 425,000 penyokong setia Harimau Malaya dapat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk menyaksikan dua perlawanan persahabatan dan tiga perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023.

Setelah lebih dua tahun tidak menerima kunjungan daripada mana-mana pasukan lawan, pasukan kebangsaan Malaysia akan mengadakan dua perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Myanmar pada 27 Mei dan Hong Kong pada 1 Jun.


Naib Presiden FAM, Dato’ Posa Haji Majais berkata kedua-dua perlawanan persahabatan ini adalah perlawanan pemanas badan buat skuad kendalian Kim Pan-gon sebelum turun beraksi dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E.

Oleh itu beliau berharap agar penyokong dapat memenuhi SNBJ bagi memberi sokongan kepada skuad negara.

Untuk menggalakkan lebih ramai penyokong hadir ke stadium, FAM telah mengumumkan harga tiket untuk kedua-dua perlawanan tersebut akan dijual pada harga RM30 untuk dewasa dan RM7 untuk kanak-kanak (6-12 tahun) untuk setiap perlawanan.

“Selain tiket perlawanan persahabatan, FAM juga mengumumkan harga tiket untuk Kelayakan Piala Asia 2023. FAM prihatin terhadap penyokong yang mahu ke stadium untuk ketiga-tiga hari perlawanan dan sebagai tanda penghargaan FAM memperkenalkan ‘Tiket Kombo RM100’ supaya ia dapat memudahkan penyokong selain memberikan sedikit penjimatan.

Ini kerana sekiranya penyokong membeli tiket secara berasingan ia akan dijual pada harga RM40 (terbuka) dan RM60 (grandstand) untuk dewasa dan RM7 untuk kanak-kanak. Jika mereka beli Tiket Kombo RM100 ini mereka akan jimat RM20,”

katanya ketika sidang media sebentar tadi.

Tambahnya lagi, apa yang menariknya adalah penyokong yang membeli tiket biasa atau kombo boleh menyaksikan dua perlawanan (petang dan malam) pada hari yang sama.

Bagaimanapun untuk penjualan Tiket Kombo RM100 ini ia hanya akan dibuka penjualannya untuk tempoh dua minggu sahaja bermula Isnin, 16 Mei hingga 29 Mei secara dalam talian di www.tickethotline.com.my

Sekiranya penyokong tidak sempat membeli Tiket Kombo RM100, mereka masih lagi boleh membeli tiket perlawanan seperti biasa yang dijual secara berasingan.

Tiket tidak akan dijual secara fizikal sebaliknya hanya akan dijual menerusi dalam talian sahaja.

Malaysia yang menjadi tuan rumah untuk Kumpulan E akan menyaksikan anak buah Pan-gon menentang Turkmenistan pada 8 Jun, lawan Bahrain pada 11 Jun dan terakhir menentang Bangladesh pada 14 Jun.

Kesemua perlawanan membabitkan pasukan kebangsaan akan berlangsung pada sebelah malam.

Ayuh Ekor Harimau Malaya, mari sama-sama kita penuhkan stadium untuk beri sokongan padu buat skuad kebangsaan untuk mengharungi perlawanan getir untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023!