Cuba fikir dan tanya mengapa 8 pemain Langkawi City FC saja yang dakwa mereka tidak dapat gaji? – Rohizan Abdullah
Isu gaji sudah sebati dengan dunia bola sepak tempatan dan jika sebelum ini pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana sering dilanda masalah gaji, kini pasukan di Liga M3 pula mula berdepan masalah sama.
Baru-baru ini lapan pemain Langkawi City FC (LCFC) mendakwa mereka tidak mendapat gaji selama dua bulan iaitu bulan Mac dan April.
Malah mereka juga mendakwa ada kontrak pemain ditamatkan menerusi satu surat yang dihantar melalui WhatsApp.
Lapan pemain tersebut adalah Akmal Afizan Ahmad Tajudin, Muhammad Shahrul Akmal Md Adnan, Zainudin Abidin, Akmal Azmi, Muhammad Zulhairi Aiman Mohamad Zainizam, Muhammad Akid Aiman Rosidi dan Syukur Saidin.
Bagaimanapun apabila Harimau Malaya menghubungi pihak pengurusan kelab LCFC bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) iaitu Rohizan Abdullah menafikan perkara tersebut.
“Cuba fikir dan tanya mengapa hanya lapan pemain sahaja yang dakwa mereka tidak dapat gaji? Sekiranya kelab tidak mempunyai wang, sudah semestinya kesemua pemain dan barisan kejurulatihan lain akan turut sama tidak mendapat gaji.
Apa yang diperkatakan oleh mereka kepada media sebelum ini adalah tidak benar. Kami sudah menjelaskan gaji mereka sebelum sambutan Aidilfitri lagi. Gaji dibayar berdasarkan komitmen mereka kepada kelab seperti termaktub dalam kontrak,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, kebanyakkan gaji pemain ini banyak yang dipotong kerana tidak hadir ke latihan dan ketika perlawanan tanpa sebab.
Dedah lagi, ketika perlawanan pusingan pertama Piala FA apabila mereka bertemu dengan pasukan KL City FC, mereka hanya mempunyai 14 pemain sahaja.
Dalam pada itu, Rohizan mengakui bahawa pihaknya sememangnya ada memberi surat amaran dan surat tamat kontrak kerana mereka mempunyai masalah disiplin.
Pada masa sama beliau turut meluahkan rasa kesal dan kecewanya dengan tindakan kumpulan pemain itu yang dilihat seperti mahu mencalarkan reputasi kelab dengan membuat tuduhan tidak berasas.
Oleh itu, beliau berharap dengan penjelasan ini peminat akan mendapat gambaran dengan lebih jelas mengenai kemelut yang berlaku ketika ini.