Kalau boleh ‘recheck’ kualiti pek snek, Kedah juga perlu ‘recheck’ kualiti pemain

1,369

Selepas mengharungi tujuh perlawanan Liga Super, penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sudah mula menyuarakan kebimbangan mereka terhadap prestasi pasukan kesayangan mereka yang kini terumbang-ambing.

Kedah yang merupakan naib juara Liga Super yang pada mulanya dikatakan akan menjadi pencabar utama juara bertahan Liga Super, JDT, bagaimanapun kini bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik mereka apabila tewas tiga perlawanan daripada empat perlawanan terakhir.


Penyokong Sang Kenari kini mendesak ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak dan pihak pengurusan tertinggi melakukan perubahan drastik pada jendela perpindahan kedua bulan ini bagi memastikan Kedah kembali di landasan tepat.

Sumber foto: KDA FC FB

Ketika ini penyokong mendesak supaya dua pemain import – pemain pertahanan Mark Vales dan penyerang Ronald Ngah Wanja ditukar.

Pemain paling dikritik adalah Vales kerana sejak kemasukannya dalam empat perlawanan terakhir, benteng telah melepaskan 11 gol menjadikan Kedah telah bolos 14 kali iaitu separuh daripada jumlah bolos yang dicatatkan mereka pada musim lalu.

Manakala penjaring terbanyak Liga Jordan, Ronald Ngah sememangnya mampu menjaringkan gol apabila mendapat peluang, tetapi beliau dikritik kerana corak permainannya yang disifatkan ‘malas’ dan tidak membantu rakan sepasukan langsung.

Bagaimanapun pemain import tengah, Dechi Marcel pula mendapat pujian melambung daripada penyokong berikutan corak permainannya yang sangat rajin dan sentiasa memberi hantaran padu dan kerap membantu rakan sepasukan ketika menyerang dan bertahan.

Sumber foto: KDA FC FB

Aidil Sharin dan pengurusan perlu ambil serius dengan situasi yang berlaku dalam pasukan ketika ini kerana musim ini sangat penting buat skuad Kedah dan juga mereka akan beraksi dalam saingan Piala AFC yang akan berlangsung pada bulan Jun ini.

Dengan prestasi semasa ketika ini, penyokong bimbang Kedah akan menjadi pasukan belasahan dan sekadar melengkapkan kumpulan sahaja.

Ini bukanlah kali pertama Kedah bermain dalam saingan Piala AFC kerana pencapaian terbaik mereka di peringkat ini adalah berjaya mara ke peringkat suku akhir pada Piala AFC edisi 2008.

Oleh itu penyokong menaruh harapan yang tinggi untuk pasukan Kedah untuk sekurang-kurangnya mara ke pusingan 16 pasukan terakhir.

Hari ini mungkin menjadi penentu samada perlu rombakan drastik atau tidak apabila Kedah akan bertemu PJ City FC dalam saingan Liga Super.

Kedah perlu memastikan musim ini mereka mampu memberi cabaran sengit kepada pendahulu liga jika mereka mahu terus bermain di Piala AFC mahu pun AFC Champions League.