Wong Choong Hann perlu bertanggungjawab atas kegagalan Malaysia di Piala Thomas?

990

Tidak dapat dinafikan kegagalan skuad badminton Malaysia di kejohanan Piala Thomas nyata membuatkan ramai penyokong berang apabila tewas di peringkat suku akhir di tangan pasukan India.

India ternyata berada di kelas tersendiri apabila mereka berjaya menjulang trofi Piala Thomas selepas 73 tahun selepas menumbangkan juara bertahan Indonesia di peringkat akhir.


Kegagalan skuad kebangsaan di Piala Thomas boleh dikatakan bermula sejak dari awal lagi iaitu ketika pemilihan pemain yang disifatkan sebagai ‘pemilihan pelik’.

Bekas pemain No. 1 Dunia iaitu Datuk Wira Lee Chong Wei yang kecewa dengan aksi hambar skuad negara dalam satu temubualnya bersama sebuah akhbar tempatan, menyatakan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann perlu bertanggungjawab atas kegagalan skuad negara.

Menurut Chong Wei, selepas dua tahun mengendalikan perseorangan negara, Choong Hann dan BAM masih gagal melahirkan bakat pemain perseorangan negara yang setanding Lee Zii Jia.

Ia telah terbukti ketika perlawanan suku akhir baru-baru ini apabila hanya Zii Jia sahaja yang berjaya menyumbang mata, manakala dua lagi pemain perseorangan negara iaitu Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao tumbang di tangan lawan.

Dengan aksi yang cukup menghampakan ini, Chong Wei percaya Malaysia tidak akan mampu memenangi Piala Thomas yang pernah dimenangi pada 1992 selagi mereka gagal membariskan skuad yang ampuh di mana negara perlu ada sekurang-kurangnya dua atau tiga pemain perseorangan hebat.

Berbalik kepada pemilihan pemain pada edisi kali ini yang dikatakan ‘pelik’, Chong Wei bersetuju sekiranya BAM mengadakan pemilihan secara terbuka seperti yang dilakukan oleh skuad India.

Ia telah dibuktikan apabila pemain No. 13 Dunia dan No. 3 di India, B. Sai Praneeth yang tidak terpilih ke Piala Thomas selepas kalah dalam perlawanan pemilihan.

Terdapat juga desas-desus yang mengatakan BAM ‘membuli’ pemain profesional apabila lebih mengutamakan pemain mereka berbanding prestasi semasa pemain.

Salah satu contoh adalah perseorangan negara Soong Joo Ven yang tidak terpilih walaupun berjaya menewaskan pemain No.1 Korea Selatan, Heo Kwang Hee di Korea Masters baru-baru ini. Cheam June Wei pula, menundukkan H.S.Prannoy pada kejohanan yang sama.

Jika sebelum ini Malaysia merupakan gergasi badminton dunia apabila sering menjadikan pasukan seperti Thailand, India, Singapura, Jepun dan beberapa negara lagi sebagai ‘lauk’, namun kini sebaliknya berlaku apabila negara yang dahulunya menjadi mangsa belasan kini meningkat secara mendadak.

Manakala Malaysia pula semakin merosot dan sehingga kini kita masih tidak melihat ada sinar harapan buat skuad negara kerana ketika ini Malaysia cuma ada seorang pemain perseorangan sahaja yang berada dalam ranking Top-40 iaitu Zii Jia yang berada pada kedudukan ke-6 dunia ketika ini.

Ia adalah satu situasi yang agak parah buat badminton negara yang mana satu perubahan drastik perlu dilakukan dengan segera untuk memastikan badminton negara kembali dengan status sebagai salah satu gergasi Asia mahupun dunia.

Rasanya penyokong badminton yang merasakan perubahan drastik perlu dilakukan dari dalam terlebih dahulu iaitu rombakan besar-besaran dalam badan induk badminton sebelum mengatur strategi untuk lahirkan ramai pemain berkelas dunia.