Kim Pan-gon tahu ramai akan persoal tindakannya panggil Guilherme De Paula
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan-gon menyedari bahawa keputusannya untuk memanggil penyerang naturalisasi Guilherme De Paula untuk jalani kem latihan pusat akan mencetuskan tanda tanya dikalangan penyokong.
Menurut Pan-gon, beliau tahu apa yang berlaku dan diperkatakan oleh penyokong tetapi beliau ingin menilai sendiri kemampuan pemain veteran Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
“Saya faham dan sedar ramai yang terkejut apabila beberapa nama pemain termasuk De Paula tersenarai. Ini adalah kali kedua saya memanggil pemain untuk kem latihan pusat jadi saya tidak mahu berasa menyesal kerana saya mahu lihat kekuatan yang ada pada pemain negara.
Saya mahu lihat sendiri prestasi kesemua pemain dalam dua perlawanan persahabatan akan datang ini. Seramai sembilan pemain baru turut dipanggil pada kali ini,”
katanya ketika sidang media mengumumkan senarai 29 pemain ke kem latihan pusat Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, beliau mahu mewujudkan suasana kompetitif dalam kalangan 29 pemain yang dipanggil sebelum membuat buat keputusan 23 pemain yang akan kekal dalam pasukan.
Pan-gon berkata demikian selepas ditanya faktor yang membuatkannya memanggil semula De Paula berikutan prestasi hambarnya ketika beraksi di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.
Selain 29 pemain yang dipanggil untuk sertai kem latihan negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengumumkan 11 pemain dalam senarai bersedia.
Jelasnya lagi dalam kem latihan yang akan bermula pada 19 Mei ini, beliau akan wujudkan suasana kompetitif kerana mahu melihat reaksi, persembahan, sumbangan dan sikap profesional setiap pemain yang mana barisan kejurulatihannya akan menilai sebelum membuat keputusan.
Skuad negara akan turun beraksi dalam dua perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Brunei dan Hong Kong pada 27 Mei dan 1 Jun ini.
Harimau Malaya kemudian akan beraksi dalam Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil yang akan bermula pada 8 Jun ini.
Malaysia membuka tirai dengan menentang Turkemnistan pada 8 Jun, kemudian bertemu Bahrain pada 11 Jun dan perlawanan terakhir menentang Bangladesh pada 14 Jun.
Dalam pada itu, Pan-gon yang ditanya mengenai peluang skuad negara untuk layak ke Piala Asia 2023 tidak menafikan anak buahnya mampu melakukannya.
“Secara teorinya dan ranking pasukan lawan lebih bagus daripada kita dalam bola sepak tiada apa yang mustahil. Kami tidak gentar kerana kami mahu lakar sejarah di tempat sendiri. Apa yang penting kami akan berikan yang terbaik.”