Daddyhood tubuh ‘The Academy My’ untuk bantu atlet e-sports baru
Pengasas ‘The Academy My’ dan pengurus e-sports ‘Homebois’, Daddyhood berkata penubuhan akademi e-sports miliknya adalah untuk memberi peluang kepada atlet e-sports muda.
Daddyhood atau nama sebenarnya Nureddy Nursal berkata, tujuan penubuhan akademinya adalah untuk mereka yang ingin menceburi dunia e-sports ini secara serius tetapi tidak mempunyai platform dan modal.
“Saya tubuhkan akademi ini adalah untuk bantu anak muda kerana jika di liga-liga profesional ia memerlukan kos yang besar, memerlukan komitmen yang tinggi dan perlukan profil pasukan yang kukuh untuk masuk. Terbaru mereka mahu wujudkan francais.
Francais bukanlah satu nilai rendah kerana kurang-kurang perlu ada RM500,000 untuk masuk liga jadi untuk pasukan-pasukan baru nak masuk liga memang susah,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, ia bukan sahaja memberi peluang kepada atlet e-sports muda ini untuk teruskan kerjaya e-sports tetapi mereka juga akan menjadi pelapis atau feeder untuk pasukan profesional miliknya.
Jelasnya Daddyhood lagi, setiap atlet yang bernaung di bawah akademinya akan mendapat elaun bulanan.
Walaupun bermain permainan video, namun beliau sangat tegas dan menitik beratkan prestasi setiap pelajar di akademi kerana mahu memastikan mereka bersedia apabila diserapkan ke pasukan liga profesional.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai pemilihan atlet e-sports, Daddyhood mengakui tidak terlibat dalam pemilihan dari segi teknikal.
“Untuk pemilihan pemain saya tidak terlibat kerana saya biarkan pada individu yang bertanggungjawab dalam soal pemilihan.
“Mereka akan beri senarai pendek kepada saya, tapi saya tidak buat pemilihan dari segi teknikal contohnya cara permainan mereka sebaliknya saya hanya akan melihat sikap atau perangai setiap calon sahaja. Saya tidak peduli mereka main bagus atau tidak kerana saya sangat utamakan sikap yang elok, selebihnya saya serahkan kepada individu yang dipertanggungjawabkan.”
Kejayaan Daddyhood dalam dunia e-sports juga telah mendapat pengiktirafan apabila beliau diangkat sebagai ikon ‘Road to Asian Games’ oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) baru-baru ini.
Selain menjadikan permainan video sebagai kerjaya, Daddyhood juga mempunyai beberapa perniagaan yang dibuat bersama rakan kongsi lain yang juga merupakan pemain video sepertinya antaranya Soloz.
Dengan perkembangan positif e-sports ketika ini, Daddyhood berharap agar industri e-sports terus berkembang dan diterima di seluruh lapisan masyarakat Malaysia.