Baddrol Bakhtiar sepatutnya ada dalam skuad Harimau Malaya

1,118

Semalam kecoh di media sosial selepas pengumuman senarai 29 pemain ke kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan bermula pada 19 Mei ini apabila ramai penyokong menyuarakan rasa tidak puas hati dengan beberapa nama yang terpilih.

Antara nama paling penyokong tidak boleh terima adalah penyerang veteran Johor Darul Ta’zim (JDT), Guilherme De Paula yang dipilih oleh Kim Pan-gon sedangkan beliau tidak mempunyai minit masa permainan langsung termasuklah rekod hambar bersama skuad negara.


Selain De Paula, terdapat beberapa nama pemain yang on-form dan nampaknya layak menyarung jersi Harimau Malaya tetapi tidak dipanggil – salah seorangnya adalah pemain tengah lagenda Baddrol Bakhtiar.

Walaupun sudah berusia 34 tahun, tetapi Baddrol masih lagi mempunyai sentuhan berbisa selain menjadi ‘general’ pasukan dengan leadership beliau.

Ya ia bukanlah satu perbandingan yang secara langsung berikutan De Paula adalah penyerang manakala Baddrol pula pemain tengah, tetapi jika dilihat kepada statistik jaringan ternyata ketua pasukan Sabah FC itu lebih layak apabila sudah pun menjaringkan tiga gol dan dua bantuan gol berbanding De Paula yang tidak diturunkan langsung.

Malah jika hendak melihat pada statistik jaringan pada musim lalu, Baddrol juga unggul mengatasi De Paula dengan tujuh jaringan sekaligus menjadikan beliau antara penjaring terbanyak Liga Super 2021 sedangkan beliau bukanlah penyerang sebaliknya hanya pemain tengah yang mempunyai sentuhan ‘pembunuh’ di hadapan gol.

Selain statistik gol, antara faktor yang paling utama untuk pemilihan seseorang pemain skuad kebangsaan adalah minit permainan.

Untuk musim ini, De Paula tidak diturunkan langsung walaupun pasukannya bermain dengan pasukan ‘kerdil’ sedangkan Baddrol pula diturunkan dalam kesemua perlawanan sebagai kesebelasan utama dengan mempunyai 562 minit permainan.

Mungkin akan ada segelintir penyokong yang akan mengungkit aksi persembahan bekas pemain Kedah Darul Aman FC ketika era Tan Cheng Hoe yang dilihat tidak menyumbang kepada pasukan negara.

Sumber foto: Sabah FC FB

Ya tidak dapat dinafikan ketika itu prestasi beliau merosot tetapi bukan kerana tidak mampu beraksi lagi, tetapi beliau bermain bukan di posisi sebenarnya sekaligus membuatkannya kurang selesa dan tidak dapat beri aksi dan impak yang terbaik.

Dalam sidang media ketua jurulatih skuad negara semalam, Pan-gon menyedari apa yang berlaku dan reaksi penyokong apabila nama De Paula terpilih tetapi beliau tetap dengan pendiriannya untuk melihat sendiri kemampuan pemain itu sebelum membuat keputusan untuk menggugurkan pemain itu atau tidak.

Jika De Paula diberi peluang sedangkan pemain itu sendiri tidak mendapat kepercayaan kelab untuk diturunkan, mengapa Baddrol yang sentiasa menjadi pilihan jurulatih kelabnya, Sabah yang juga dikendalikan oleh bekas jurulatih skuad negara iaitu Datuk Ong Kim Swee, tidak diberi peluang yang sama rata? Itu adalah persoalan yang timbul dalam kalangan penyokong.

Bukan Baddrol sahaja tetapi beberapa nama pemain lain yang dirasakan layak turut tidak dipanggil antaranya Amri Yahya, Ryan Lambert, Rodney Celvin Akwensivie, Kenny Pallraj, Nurshamil Abd Ghani, Nathaniel Shio Hong Wan, Mahali Jasuli, Al-Hafiz Harun, Akram Mahinan, J.Partiban dan S.Kumaahran serta beberapa nama lagi.

Apa-apa pun tiada apa yang boleh dilakukan oleh penyokong ketika ini sebaliknya hanya mampu mengharapkan percaturan yang dilakukan oleh Pan-gon akan membuahkan hasil yang positif pada aksi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kelak.