The perfect audition! Nor Azam Azih semakin hampir ke JDT?
Melihat situasi semasa ini nampaknya desas-desus yang mengatakan pemain tengah sensasi Sri Pahang FC (SPFC), Nor Azam Azih berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) pada jendela perpindahan kedua bulan ini nampaknya seperti bakal menjadi realiti terutamanya selepas perlawanan Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan itu.
Semalam pemain kebangsaan, Azam Azih hampir membantu Pahang untuk menumbangkan juara bertahan JDT di Stadium Sultan Ibrahim tetapi terpaksa akur apabila mereka hanya sekadar seri 2-2 apabila Bergson menyamakan kedudukan untuk Harimau Selatan dengan jaringan keduanya menerusi sepakan penalti.
Bagaimanapun apa yang menarik sepanjang perlawanan tersebut adalah kelibat Azam Azih yang menjadi nadi utama skuad Tok Gajah dalam mengimbangi di bahagian tengah yang sebelum ini sering didominasi oleh JDT.
Malah pasukannya tidak bermain secara bertahan sebaliknya melakukan serangan bertali arus sekiranya mempunyai peluang.
Sementara itu, apa yang membuatkan khabar angin ini tampak berkemungkinan besar akan menjadi kenyataan selepas pengendali JDT, Benjamin Mora mengakui pasukannya mempunyai masalah pada bahagian tengah.
Ketiadaan Natxo Insa yang mengalami kecederaan telah diganti dengan pemain muda, Nathaniel Shio Hong Wan yang dilihat mampu mengemudi bahagian tengah tetapi belum cukup matang dan berpengalaman seperti Natxo.
Tidak dapat dinafikan JDT mempunyai pemain tengah berpengalaman dan berkaliber seperti Safiq Rahim tetapi sekiranya Mora mahukan seorang pemain tengah yang lebih lincah, dinamik, muda dan laju yang mampu menggantikan Natxo atau sebagai ‘rotation’, Azam Azih adalah pemain yang cukup sesuai.
Persoalan yang timbul adalah adakah Pahang akan melepaskan pemain sepenting itu kerana dengan aksi mantap yang dipamerkannya sudah semestinya mereka tidak ingin kehilangan pemain bintang di saat mereka sedang dalam prestasi naik.