Azam Azih bukan seorang pemain yang kejar wang – Christophe Gamel
Ketua jurlatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel menafikan khabar angin yang mendakwa pemain tengah Nor Azam Azih akan berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) pada jendela perpindahan kedua pada bulan ini.
Gamel berkata demikian kerana beliau percaya bahawa Azam tidak mengejar wang dan populariti sebagai pemain bola sepak.
“Khabar angin itu tidak benar kerana Azam masih lagi mempunyai kontrak dengan Sri Pahang jadi tidak mungkin beliau akan berhijrah ke pasukan lain. Pada masa sama Azam yang saya kenali adalah seorang yang sangat merendah diri.
Malah beliau main bola sepak bukan kerana wang dan populariti. Azam adalah DNA buat Sri Pahang,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau bagaimanapun akan menghormati keputusan pemain berusia 27 tahun itu sekiranya satu hari nanti beliau mahu berhijrah.
Dalam pada itu, Gamel juga menjelaskan situasi sebenar mengenai dua pemain importnya iaitu Johan Martial dan Billy Ketkeophomphone yang dilihat masih bergelut dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan bola sepak Malaysia.
“Untuk kedua-dua pemain ini mereka mempunyai teknikal yang baik tetapi apa yang membuatkan prestasi mereka merosot adalah kerana tiada konsistensi selain mengalami kecederaan berulang yang menjejaskan permainan mereka.
Saya percaya apabila mereka sudah pulih sepenuhnya kedua-dua pemain ini akan mempamerkan aksi sebenar mereka.”
Semalam Sri Pahang hampir mengejutkan juara bertahan Liga Super, JDT, apabila mereka hampir menumbangkan Harimau Selatan di laman mereka sendiri, bagaimanapun tidak kesampaian apabila skuad kendalian Benjamin Mora berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti Bergson pada penghujung perlawanan.
Gamel berkata kejayaan pemainnya mengikat gergasi dari Selatan itu bukanlah hasil kerja beberapa individu sahaja, sebaliknya ia adalah hasil usaha keras kesemua pemain yang beraksi.
Momentum Sri Pahang terbantut apabila saingan Liga Super akan berehat selama sebulan bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan Malaysia untuk beraksi dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa dan Kelayakan Piala Asia 2023 tidak lama lagi.
“Saya terpaksa ‘restart’ semula dengan pemain yang kurang berikutan kecederaan dan saya juga perlu mencari pemain baru yang mana kami sedikit perlahan dalam proses ini.
Walaupun saya berasa sedikit kesal tetapi ia adalah satu cabaran untuk saya cuba lakukan sesuatu termasuk membangunkan pemain.”
Kejayaan yang sedang dikecapi oleh Sri Pahang ketika ini tidak bermakna mereka sudah meletakkan sasaran untuk menjuarai liga musim ini sebaliknya Gamel berkata fokus mereka ketika ini adalah untuk mendapatkan keputusan baik setiap perlawanan dan cuba mengikut rapat pendahulu liga.