Amri Yahyah boleh main lagi 20 tahun lagi – Fareed Shah Hassan

1,063

Bekas pemain bola sepak Selangor, Mohd Fareed Shah Hassan percaya dengan prestasi yang dipamerkan oleh penyerang Sabah FC, Amri Yahyah ketika ini, beliau mampu terus bermain bola lagi 20 tahun.

Fareed berkata demikian selepas melihat penyerang berusia 41 tahun itu masih lagi berbisa di hadapan pintu gol apabila sering menjaringkan gol-gol cantik.


“Amri sudah 20 tahun bermain bola, beliau boleh main lagi 20 tahun. Walaupun sudah berusia 40an tetapi penampilan dan fizikalnya tidak seperti usianya.

Saya juga berusia 40an tapi saya kelihatan lebih macam orang yang berusia. Kenapa beliau tak? Sebab Amri seorang yang sangat menjaga soal makanan dan makan ulam-ulaman,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Fareed berkata demikian berikutan beliau pernah bermain bersama Amri ketika di Selangor pada tahun 2002 yang mana ketika itu Amri berjaya menjaringkan gol kemenangan Selangor pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 ketika menentang Sabah.

Pada masa sama beliau turut bangga dan merasakan apa yang dikecapinya ketika ini adalah hasil kerja kerasnya.

“Amri bukan seorang pemain bola sepak sejati tetapi beliau adalah fighter yang sentiasa akan memberikan yang terbaik apabila turun beraksi. Jadi saya rasa mana-mana pasukan yang ambilnya tidak akan rugi sesen pun.”

Tambahnya lagi, apa yang membuatkan Amri sangat istimewa adalah komitmennya terhadap sukan bola sepak.

Beliau sentiasa bekerja keras dan akan berlatih bersungguh-sungguh untuk memastikan beliau memberikan persembahan terbaik setiap kali turun beraksi.