Pulang ke JDT, kedudukan Syafiq Ahmad bersama Harimau Malaya dalam bahaya?
Pengumuman Syafiq Ahmad kembali ke Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini mengejutkan ramai pihak kerana pemain itu ketika ini boleh dikatakan salah seorang pemain penting dalam skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Disember tahun lalu, pemain berusia 27 tahun itu secara rasminya dipinjamkan ke bekas kelabnya, Kedah untuk mendapatkan minit permainan.
Beliau berjaya mendapatkan apa yang dihajatinya apabila turun dalam sembilan perlawanan Liga Super dan mencatatkan 709 minit permainan musim ini.
Jumlah itu ternyata lebih banyak berbanding empat musim ketika berada di JDT sejak 2018 hingga 2021 iaitu hanya 677 minit.
Persoalan utama yang timbul selepas ini adalah adakah beliau akan mendapat minit permainan sama seperti di Kedah atau sebaliknya.
Stats tak menipu.
— Kejar Bola (@kejar_bola) May 20, 2022
Syafiq Ahmad hanya perlukan 9 perlawanan (709 minit) di Kedah untuk pintas keseluruhan minit permainan liga beliau di JDT (4 musim -> 677 minit).
🫤🫤 pic.twitter.com/dF7TyMwd6W
Realitinya, peluang buat Syafiq untuk berada dalam kesebelasan utama JDT amat sukar terutama untuk merebut posisi penyerang yang didominasi oleh duo import, Fernando Forestieri, Bergson da Silva dan permata muda, Arif Aiman.
Ini adalah satu perkara yang sangat membimbangkan buat pemain itu kerana ia bakal memberi impak terhadap karier serta masa depannya terutama dalam pemilihan skuad Harimau Malaya.
Sebelum ini, beliau mendapat kepercayaan Kim Pan-gon dalam kesebelasan utama ketika perlawanan persahabatan FAS Tri-Nation Series 2022 menentang Filipina dan Singapura Mac lalu.
Baru-baru ini, beliau sekali lagi dipanggil ke kem latihan pusat pasukan kebangsaan sebagai persiapan untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E, serta dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1.
Sekiranya Syafiq gagal mendapatkan tempat dalam pasukan selepas pulang ke JDT, kedudukannya dalam skuad kebangsaan berkemungkinan besar akan tergugat.
Tetapi, ada satu cara Syafiq boleh mendapatkan minit permainan iaitu dengan bermain di feeder club JDT yang beraksi di Liga Perdana iaitu JDT II, namun berdasarkan rekod tiada seorangpun pemain daripada Liga Perdana yang berjaya memikat hati Pan-gon.
Sebagai contoh, bintang dari Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani yang begitu menyerlah dalam saingan Liga Perdana musim ini dan merupakan penjaring terbanyak tempatan dengan lima gol dalam tujuh perlawanan juga gagal tersenarai dalam skuad Pan-gon.
Jadi, adakah Syafiq sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Harimau Malaya?
Diharapkan kepulangan Syafiq ke JDT tidak akan menyebabkan kariernya disia-siakan begitu sahaja dan diharapkan juga pengendali Harimau Selatan, Benjamin Mora mempunyai pelan buat pemain itu.