Brad Maloney akan kekalkan pemain sama untuk Piala Asia B-23

1,929

Pengendali skuad kebangsaan B-23, Brad Maloney bangga dengan persembahan anak buahnya pada kejohanan Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.

Walaupun kecewa gagal membawa pulang pingat buat negara, beliau bagaimanapun berkata pemain-pemainnya telah melebihi jangkaannya dengan melangkah ke peringkat separuh akhir.


“Saya berbangga dengan persembahan mereka sepanjang kejohanan ini, walaupun tidak berjaya menyumbangkan pingat, mereka telah berusaha bersungguh-sungguh dan melebihi jangkaan saya.

Bagi saya kejohanan Sukan SEA ini adalah satu platform yang baik buat para pemain bersedia untuk menghadapi Piala Asia (B-23) kelak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya, beliau akan memberi kepercayaan sama kepada skuad kali ini pada kejohanan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung pada bulan Jun ini.

Katanya lagi, beliau akan membawa pemain sama untuk ke Uzbekistan bagi kejohanan tersebut.

“Dari apa yang saya lihat, pemain yang ada sekarang ini itulah yang saya akan bawa ke Uzbekistan. Saya tak nampak banyak perubahan yang akan dilakukan pada skuad ini.”

Dalam pada itu, beliau akan memberi masa untuk anak buahnya berehat sehingga 25 Mei ini sebelum mereka terbang ke Uzbekistan pada 27 Mei.

Skuad B-23 negara telah diundi dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, Vietnam dan Thailand pada kejohanan yang akan bermula 1 Jun itu.