MSN anggap bola sepak gagal di Sukan SEA

173

Skuad muda negara di bawah kendalian Brad Maloney telah menamatkan saingan Sukan SEA Hanoi di tempat keempat setelah tewas di tangan Indonesia pada perlawanan penentuan pingat gangsa pada Ahad yang lalu.  

Satu rumusan telah dikeluarkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) berdasarkan prestasi yang telah ditunjukkan oleh kesemua atlet negara sepanjang temasya Sukan SEA dan bola sepak telah tersenarai sebagai salah satu sukan yang gagal di kejohanan tersebut di samping 16 sukan yang lain.


Perkara ini menimbulkan tanda tanya peminat sukan bola sepak tanah air kerana tiada sebarang sasaran pingat yang diletakkan terhadap skuad ini sebelum kejohanan bermula.

Tambahan pula, prestasi yang memberangsangkan telah ditunjukkan oleh skuad muda negara ketika membuka tirai kejohanan dengan mengalahkan saingan utama, Thailand.

Semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh skuad muda negara boleh dibanggakan kerana mereka merupakan antara pasukan yang tidak pernah tewas di dalam 90 minit permainan sepanjang kejohanan.

Secara keseluruhannya, penampilan pasukan ini di temasya tersebut berhak mendapat pujian apabila mereka berjaya menghadapi cabaran yang diberikan oleh pasukan gergasi seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan Singapura.

Terdapat beberapa aspek yang perlu diperhalusi oleh Maloney dan pasukan bagi memastikan prestasi skuad ini terus diperbaiki secepat mungkin.

Ketajaman bahagian serangan negara perlu lebih dipertingkatkan selepas mereka kelihatan tumpul dengan hanya berjaya mengumpul 10 jaringan daripada enam perlawanan keseluruhan.

Barisan serangan negara yang dibarisi oleh Luqman Hakim dan Hadi Fayyadh perlu lebih agresif untuk memanfaatkan setiap peluang yang terhidang.

Barisan tengah yang dikemudi oleh ketua pasukan, Mukhairi Ajmal telah berjaya melorongkan beberapa hantaran merbahaya sepanjang kejohanan namun peluang tersebut tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Kesinambungan bahagian tengah dan serangan perlu diteliti semula agar impak yang lebih maksima dapat diperoleh.

Di samping itu, keserasian di bahagian pertahanan juga perlu diperbaiki dengan segera. Jumlah lapan bolos dari enam perlawanan sepanjang kempen Sukan SEA kali ini mencerminkan kerapuhan jentera pertahanan negara dalam menahan asakan yang diberikan oleh pasukan lawan.

Pemain perlu cepat memperbaiki diri dari melakukan kesilapan-kesilapan mudah terutama dalam kawasan sendiri seperti yang berlaku semasa menentang Vietnam.

Perubahan dan penambahbaikan perlu dibuat dengan kadar segera bagi memastikan skuad ini mampu memberikan saingat yang kuat apabila dijadual sekali lagi bertemu dengan musuh serantau, Vietnam dan Thailand selain daripada pasukan gergasi Asia, Korea Selatan yang diletakkan di dalam kumpulan yang sama pada kejohanan Piala Asia B-23 bermula Jun ini.

Diharap agar sinar baharu akan dapat ditemui oleh skuad kendalian Maloney bagi menampilkan aksi bertenaga menjelang aksi pertama menentang Korea Selatan pada 2 Jun ini.