Saya tak perlu buktikan kemampuan saya pada KPG – Matthew Davies

2,604

Pemain pertahanan negara, Matthew Davies berkata tiada keperluan untuknya membuktikan kemampuannya kepada ketua jurulatih Kim Pan-gon untuk dipilih dalam skuad utama Harimau Malaya.

Ini kerana menurutnya beliau sudah membuktikannya sepanjang beraksi bersama kelabnya di Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga bersama skuad kebangsaan lebih tujuh tahun.


“Saya rasa tiada keperluan untuk buktikan kemampuan saya ketika ini kerana saya sudah bersama skuad kebangsaan lebih tahun. Tetapi sebagai pemain sudah pasti kita mahu bermain dan jika kita berusaha dengan keras ia pasti akan membuahkan hasil.

Saya datang dengan attitude yang bagus dan akan bekerja keras jadi saya pasti saya tak perlu buktikan apa-apa lagi kepada ketua jurulatih baru,”

katanya.

Dalam pada itu, pemain kacukan Malaysia-Australia yang ditanya adakah beliau akan mengekalkan posisinya sebagai pertahanan kanan, Matt berkata beliau sendiri tidak pasti beliau akan diletakkan di posisi mana.

“Saya sendiri tidak pasti akan bermain atau tidak, tetapi saya rasa jurulatih akan membuat perubahan. Ketika ini saya tidak dapat pastikan lagi sama ada saya akan bermain di posisi yang sama atau tidak.”

Sementara itu, pemain berusia 27 tahun itu juga berkata beliau tidak berdepan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan corak permainan berintensiti tinggi yang diterapkan oleh pengendali dari Korea Selatan itu.

Ini kerana beliau sememangnya sudah biasa dengan corak latihan dan permainan berintensiti tinggi ketika bersama JDT.

Pada masa sama beliau turut memuji barisan kejurulatihan yang disifatkan telah melakukan kerja yang begitu baik sekali sepanjang latihan berlangsung.

Skuad kebangsaan akan menghadapi dua perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 bertemu Brunei dan Hong Kong pada 27 Mei dan 1 Jun.

Mereka kemudian akan turun beraksi dalam pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 8 hingga 14 Jun yang mana mereka akan bertemu dengan Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh.