Kedudukan Tan Cheong Hoe kini dalam bahaya

185

Sebelum saingan Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura bermula, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sudah berdepan dengan pelbagai tekanan apabila beliau hanya mempunyai tempoh yang sangat singkat untuk mempersiapkan barisan pemain terbaik selain dikritik hebat susulan pemilihan pemain dan keputusannya membawa sebanyak 24 pemain sahaja sedangkan setiap pasukan dibenarkan membawa 30 pemain.

Tindakan itu dilihat seperti ‘menempah bala’ apabila dua pertahanan tengah, Aidil Zafuan Abd Razak dan Shahrul Saad sah tidak dapat diturunkan pada aksi terakhir kumpulan B menentang Indonesia, 19 Disember ini akibat kecederaan hamstring ketika perlawanan dengan Vietnam yang mana Malaysia tumpas 0-3.


Berdasarkan situasi semasa ini, perlawanan menentang Indonesia dikatakan akan menjadi penentu buat Cheong Hoe samada beliau akan terus diberi kepercayaan mengemudi skuad kebangsaan atau sebaliknya.

19 Disember ini akan menjadi penentu samada Harimau Malaya akan mengaum garang ke separuh akhir atau longlai dicengkam Garuda. Skuad negara wajib menang untuk layak ke separuh akhir selepas Indonesia berjaya mengikat Vietnam tanpa jaringan pada malam Rabu.

Walaupun bakal berdepan ancaman besar daripada skuad kendalian Shin Tae-yong, namun pemain negara tidak seharusnya bersikap terlalu merendah diri sebaliknya harus bersemangat untuk memastikan Malaysia mendapat tiga mata penuh untuk peringkat separuh akhir.

Berdasarkan rekod lima perlawanan terakhir antara Malaysia dan Indonesia, skuad negara telah berjaya menang tiga kali dengan dua perlawanan terakhir untuk Kelayakan Piala Dunia 2022 menyaksikan Harimau Malaya menang 3-2 dan 2-0.

Sumber foto: FAM Facebook

Disebalik berita suram menghantui Harimau Malaya sejak beberapa hari ini, namun masih ada sinar harapan apabila Faisal Halim dan Khairul Azhan yang sebelum ini tidak dapat beraksi susulan dijangkiti COVID-19 dilaporkan telah pulih dan dijangka akan turun ketika menentang Indonesia.

Selain itu, seorang lagi pemain negara Dion Cools yang bermain untuk kelab Midtjyland di Liga Super Denmark akan tiba di Singapura pada Khamis untuk memperkuatkan barisan pertahanan yang ketika ini ‘tempang’ selepas Aidil dan Shahrul cedera.

Sumber foto: FAM Facebook

Kali terakhir Cools menyarung jersi Harimau Malaya adalah pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Jun lalu yang mana aksinya dipuji ramai biarpun skuad negara tewas.

Cheong Hoe dijangka akan terus mengekalkan Khairul Fahmi Che Mat sebagai penjaga gol utama selepas mempamerkan aksi menyakinkan selepas tiga perlawanan. Bagaimanapun bahagian pertahanan kini menjadi tumpuan selepas dua tonggak utama mengalami kecederaan membuatkan beliau akan menggandingkan Dion Cools dan Dominic Tan di bahagian pertahanan tengah, manakala Syahmi Safari dan Rizal Ghazali akan bermain di pertahanan kiri dan kanan.

Baddrol Bakhtiar pula akan terus mengemudi di bahagian tengah bersama Mukhairi Ajmal dengan Safawi Rashid dan Faisal Halim bermain di bahagian sayap kiri dan kanan. Manakala Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid dan Ariff Aiman Hanapi boleh dimasukkan pada separuh masa kedua bagi memberi tenaga tambahan di hujung-hujung perlawanan.

Sumber foto: FAM Facebook

Posisi paling kontroversi dan menjadi tumpuan sudah semestinya penyerang dan siapakah yang bakal menjadi pemusnah? Ketika ini Cheng Hoe hanya mempunyai Luqman Hakim Shamsudin, Shahrel Fikri dan Guilherme de Paula. Berdasarkan persembahan semasa, Luqman dijangka akan diturunkan untuk menggempur pintu gol lawan.

Jika dilihat barisan pemain Harimau Malaya ia tampak agak stabil walaupun mempunyai beberapa kekurangan, tetapi pemain negara perlu memberi aksi terbaik apabila menentang Indonesia Ahad ini sekiranya mahu layak ke peringkat seterusnya.

Perlawanan Indonesia menentang Vietnam telah menjadi perhatian ramai apabila skuad kendalian Shin Tae-yong berjaya menyerap kesemua serangan daripada pasukan yang diberi jolokan ‘The Golden Star’ yang buntu mencari jaringan sehingga ke akhir perlawanan.

Susulan keputusan seri dengan Vietnam, sebuah portal bola sepak di Indonesia turut menyiarkan artikel meluahkan keyakinan pasukan mereka bakal kalahkan Malaysia kerana tiga sebab ini; Skuad negara ketika ini pincang, masalah dalaman pasukan dan pasukan Indonesia kini berada dalam prestasi terbaik.

Barisan pertahanan Indonesia yang diterajui oleh Asnawi Mangkualam, Fachrudin Aryanto, Alfeandra Dewangga, Rizky Ridho dan Pratama Arhan terpaksa bekerja keras untuk mematahkan setiap serangan dan mereka melakukannya dengan baik sekali apabila pasukan Vietnam hanya mampu melakukan satu percubaan ke arah gawang sepanjang 90 minit.

Sumber foto: Elkan Baggott Facebook

Menentang Malaysia, Indonesia bakal mendapat ‘tonik tambahan’ apabila pemain Ipswich Town di EFL League One, Elkan William Tio Baggott yang sebelum ini dikenakan kuarantin sehingga 18 Disember ini selepas dikenal pasti sebagai kontak rapat kes disahkan Omicron ketika dalam penerbangan dijangka akan diturunkan menentang Malaysia.

Bagaimanapun pemain Malaysia perlu berjaga-jaga dengan gandingan lima pemain di bahagian tengah dan serangan Indonesia iaitu Witan Sulaeman, Ricky Kambuaya, Rachmat Irianto dan Ezra Walian yang mempunyai corak permainan yang menarik selain sering mendatangkan masalah kepada pertahanan pihak lawan.

Mereka turut mempunyai beberapa pemain lain di bangku simpanan yang mampu memberikan masalah kepada skuad Harimau Malaya sekiranya diturunkan seperti Egy Maulana, Evan Dimas, Irfan Jaya dan beberapa lagi.

Sumber foto: AFF Suzuki Cup

Indonesia yang berjaya mengikat Vietnam kini sudah sebelah kaki untuk mara ke peringkat separuh akhir kerana hanya memerlukan keputusan seri ketika menentang Malaysia, manakala skuad kendalian Cheng Hoe pula wajib menang untuk merebut kedudukan naik johan kumpulan B untuk mara ke separuh akhir.

Secara taktikal, pasukan Indonesia boleh bermain secara bertahan dan menyerang apabila mendapat peluang, namun umum sudah sedia maklum apabila dua musuh tradisi ini berentap tiada istilah bermain secara bertahan sebaliknya kedua-dua pasukan akan menampilkan corak permainan pantas, menyerang dan menarik untuk disaksikan.

Apakah tragedi Piala AFF Suzuki 2016 akan berulang? Atau segala masalah yang berlaku dalam kem kebangsaan ketika ini akan berakhir dengan kejayaan seperti edisi 2010? Sama-sama kita (Ekor Harimau) mendoakan yang terbaik buat skuad kebangsaan Malaysia.