Daniel Ting mampu beri saingan sihat buat Corbin Ong dalam skuad kebangsaan
Sebelum Liga Super musim ini membuka tirainya, nama bekas pemain KL City FC, Daniel Ting hangat diperkatakan selepas pemain itu dilaporkan tidak dapat kembali ke Malaysia disebabkan masalah keluarga.
Selepas kontraknya bersama KL City ditamatkan Mac lalu, kesebelasan terbaik Liga Super 2021 itu kini masih tidak mempunyai kontrak bersama mana-mana kelab walaupun namanya kuat dikaitkan dengan beberapa kelab tempatan termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.
Pada tahun 2018, Daniel pernah berehat dari dunia bola sepak selama dua tahun selepas keluar daripada PKNS FC, sebelum membuat kemunculan semula bersama KL City pada Januari 2021.
Sebelum ini juga, kecoh dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas laman Wikipedia menyenaraikan pasukan Selangor FC dalam senarai kelab yang diwakilinya, sebelum ia dipadam.
Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh pengurus Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid yang mengatakan bahawa mereka memilih untuk menandatangani Fazly Mazlan bagi posisi pertahanan kiri.
Jika dilihat kepada pemain-pemain yang dimiliki JDT, mereka hanya mempunyai seorang sahaja pertahanan kiri tulen iaitu Corbin Ong, dan sekiranya Daniel membuat keputusan untuk menyertai JDT, ia bakal menghadirkan persaingan yang sihat buat Corbin, dan boleh menjadi pengganti sesuai buat pemain itu.
Untuk rekod, Corbin merupakan antara pemain terpenting untuk Harimau Selatan dengan minit permainan ketiga tertinggi, iaitu sebanyak 1,060 minit, di belakang duo penyerang, Fernando Forestieri (1,104) dan Bergson dan Silva (1,161).
Sekiranya Corbin mengalami kecederaan, tiada siapa yang dilihat layak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan olehnya.
Situasi itu dilihat sama seperti yang dialami skuad kebangsaan ketika ini yang kekurangan pemain berbakat di bahagian pertahanan kiri pasukan.
Daripada senarai 29 pemain awal ke kem latihan pusat Harimau Malaya sebagai persiapan untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2023, serta dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1, hanya dua pertahanan kiri dipanggil iaitu Corbin dan pemain Negeri Sembilan FC, Khair Jones.
Namun, Khair terpaksa digugurkan daripada pasukan selepas mengalami kecederaan dan negara kini terpaksa bergantung kepada Corbin sahaja.
Musim lalu, Daniel tampil dalam 22 perlawanan Liga Super buat KL City dan menjaringkan satu gol.
Beliau juga merupakan salah satu tonggak penting dalam pasukan yang membantu kelabnya memenangi Piala Malaysia dengan menewaskan JDT.
Jika Daniel dapat meneruskan rentak cemerlangnya ketika bersama The City Boys musim lalu, beliau berpotensi menjadi salah seorang aset penting kepada negara di bahagian pertahanan kiri yang ketika ini ketandusan pemain di posisi tersebut.