Beregu lelaki negara perlu dirombak semula
Analisa mendalam perlu dilakukan terhadap pasukan beregu lelaki negara rentetan daripada prestasi yang merudum pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky sebelum ini ada menyatakan kekecewaan beliau terhadap persembahan yang ditunjukkan oleh pasangan tersebut terutamanya Wooi Yik yang kelihatan kehilangan rentak.
Baru-baru ini, Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria juga telah mengumumkan bahawa rombakan akan dilakukan oleh BAM terhadap pasukan beregu negara sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Menerusi rombakan ini, mungkin BAM boleh mempertimbangkan semula keputusan untuk memanggil beberapa pemain profesional yang menunjukkan prestasi yang memberansangkan seperti Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin untuk kembali bernaung di bawah BAM seperti yang dilakukan terhadap Chan Peng Soon.
Peng Soon dan pasangannya, Goh Liu Ying sebelum ini memilih untuk bergerak secara profesional sebelum beliau dipanggil semula untuk berpasangan dengan pemenang pingat perak Sukan SEA Hanoi, Cheah Yee See.
Persembahan menyakinkan telah ditunjukkan oleh gandingan Aaron Chia dan Teo Ee Yi ketika kempen Thomas Cup dalam membantu pasukan negara mengutip mata-mata penting seperti yang berlaku semasa menentang India di suku akhir mungkin boleh menjadi salah satu penanda aras yang perlu dilihat semula oleh BAM.
Ee Yi tampak sebagai pilihan yang tepat untuk menggantikan tempat Wooi Yik dalam membentuk gandingan yang berkualiti bersama Aaron sekiranya sebarang pengguguran atau pertukaran gandingan dilakukan.
Rombakan yang akan dilakukan ini dapat dilihat sebagai satu pilihan yang terbaik dalam memastikan kualiti permainan serta keputusan yang lebih positif dapat dicapai segera menjelang kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Selain itu, terdapat beberapa rombakan yang telah mula dilakukan terhadap pasukan beregu campuran muda negara termasuk Chen Tan Jie-Peck Yen Wei yang baru mencipta sejarah di Hanoi baru baru ini.
Gandingan-gandingan baru ini akan mula diuji pada saingan Indonesia Open yang dijadual berlansung pada Jun depan.
Sebelum ini, pasukan pelapis negara telah berjaya menunjukkan prestasi yang membanggakan dengan pencapaian demi pencapaian yang telah digapai terutama sekali kejayaan menggondol 4 pingat di Sukan SEA baru-baru ini.
Rexy menyuarakan kegembiraan beliau terhadap prestasi yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya meskipun terpaksa berhempas pulas menentang pemain-pemain negara lain yang lebih berpengalaman seperti Thailand yang telah membariskan pemain handalan mereka, Kunlavut Vitidsarn, naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF 2021.
Antara yang turut mencuri tumpuan adalah gandingan mantap dari Haikal Nazri dan Wan Arif Junaidi yang dilihat mampu menjadi prospek utama negara di masa hadapan.
Semoga proses rombakan ini mampu menjadi titik kebangkitan utama dalam mencapai keputusan yang lebih positif dalam mengembalikan zaman kegemilangan sukan badminton negara.