Pemain warisan dan naturalisasi negara patut contohi Junior Eldstal
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini landskap bola sepak Malaysia berubah apabila melihat semakin ramai pemain warisan (kacukan) dan naturalisasi bukan sahaja bermain di pasukan Liga Super tetapi juga menyarung jersi Harimau Malaya.
Umum sedia maklum pemain warisan ini adalah pemain yang dilahirkan di luar negara tetapi mempunyai pertalian darah di Malaysia, manakala pemain naturalisasi pula adalah pemain yang beraksi di Liga Malaysia selama lima musim.
Jadi apabila sudah menyarung jersi kebangsaan dan mendapat kewarganegaraan sudah semestinya antara perkara yang wajib dipelajari adalah budaya negara itu salah satunya adalah Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia.
Tidak dapat dinafikan terdapat segelintir daripada mereka yang masih tidak tahu langsung Bahasa Malaysia biarpun sudah lama menetap di sini.
Mereka patutnya menjadikan pemain warisan negara iaitu Junior Eldstal sebagai contoh kerana walaupun beliau membesar di luar negara, namun apabila beliau kembali ke Malaysia untuk melebarkan karier bola sepaknya beliau belajar bersungguh-sungguh untuk bertutur dalam Bahasa Malaysia.
Malah ketika ditemubual media juga, Junior tidak memperlihatkan kekok apabila menjawab setiap soalan dengan begitu baik sekali lagi.
Rata-rata penyokong memuji dan bangga dengan Junior yang disifatkan sebagai pemain yang mempunyai semangat juang dan sayangkan Malaysia.
Seorang lagi pemain iaitu Jordan Mintah dari Terengganu FC II antara pemain yang sayangkan pasukan yang diwakilinya sehingga beliau sanggup mempelajari loghat Terengganu walaupun beliau masih berstatus pemain import.
Jadi tidak hairanlah Jordan merupakan antara pemain import yang paling disayangi penyokong Penyu ketika ini.
Mungkin ada segelintir penyokong akan mengatakan ia adalah perkara remeh yang tidak sepatutnya dibangkitkan, tetapi cuba anda lihat sendiri di negara jiran Indonesia.
Mana-mana pemain import yang bermain di liga sana pasti akan mempelajari bahasa kebangsaan negara itu, jadi tidak hairanlah pemain-pemain ini bukan sahaja disayangi oleh penyokong tetapi juga komuniti.
Sebenarnya dapat menguasai bahasa ibunda juga memberi kelebihan ketika beraksi di padang bola sepak. Bagaimana? Apabila anda berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia ketika menentang pasukan dari negara lain, jadi segala arahan atau percaturan yang dibuat tidak dapat didengari oleh pihak lawan.
Jika jurulatih dan pemain bertutur dalam Bahasa Inggeris sudah semestinya mudah untuk pihak lawan mengetahui apa yang dijeritkan oleh jurulatih kepada pemainnya.
Mungkin ia perkara yang kecil, tetapi anda harus ingat dalam dunia sepak tiada apa yang mustahil dan perkara kecil mungkin akan menjadi penentu kemenangan sesebuah pasukan.
Jadi kepada pemain naturalisasi dan warisan negara, belajarlah Bahasa Malaysia kerana ia tidak merugikan anda langsung, malah anda akan mendapat lebih banyak manfaat daripadanya.