Lee Zii Jia kini ‘Prince of Badminton’ Malaysia

211

Dunia badminton negara suram seketika selepas persaraan bekas pemain perseorangan lelaki No. 1 dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei apabila tiada pemain yang mampu menggantikan lagenda ketika itu, namun kini semuanya berubah selepas kemunculan Lee Zii Jia.

Zii Jia yang kini merupakan pemain No. 5 Dunia merupakan bintang baru buat badminton negara apabila beliau berjaya meraih kejayaan demi kejayaan dalam tempoh yang singkat.


Nama pemain berusia 24 tahun itu menjadi perhatian ramai selepas beliau berjaya menamatkan kemarau kejohanan Seluruh England apabila meraih trofi tersebut pada tahun 2021.

Walaupun gagal mempertahankan gelaran itu pada tahun ini, tetapi beliau berjaya mempamerkan aksi bertenaga dan baru-baru ini beliau berjaya muncul juara di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 selepas menumpaskan pemain Indonesia, Jonatan Christie.

Kejayaan yang diraih oleh Zii Jia telah menyumbang kepada pertambahan penyokong sukan badminton negara yang mana Malaysia kini boleh dikatakan mempunyai penyokong badminton paling ramai.

Bukan sahaja ramai tetapi penyokong badminton negara terutamanya penyokong Zii Jia yang dilihat sangat fanatik terhadapnya.

Sikap fanatik penyokong itu telah dilihat ketika skuad negara beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di sini baru-baru ini.

Ia merupakan satu perkembangan yang cukup positif buat sukan badminton negara tetapi dalam apa sahaja perkara pastinya ada baik dan buruk.

Baiknya adalah sukan badminton semakin mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia, buruknya pula adalah sikap penyokong yang terlampau fanatik sehinggakan tiada siapa yang boleh mengkritik pemain kesayangan mereka.

Jika ada yang mengkritik, pasti ‘tentera’ penyokong pemain itu akan ‘menyerang’ pihak yang mengkritik itu.

Situasi ini hampir sama dengan peminat K-Pop yang sememangnya terkenal dengan sikap terlampau fanatik sehinggakan ada yang masuk campur dalam perihal peribadi idola mereka.

Itulah yang terjadi pada Zii Jia apabila dalam satu temubual baru-baru pengacara bertanya status hubungannya dengan pemain beregu wanita, Pearly Tan.

Soalan tersebut nyata mencetuskan kemarahan penyokong tegarnya yang tidak menunggu lama untuk menghentam pengacara tersebut sehingga video yang dimuat naik di media sosial terpaksa ‘disembunyikan’.

Dengan populariti yang dikecapi oleh Zii Jia ketika ini, beliau kini bukanlah hanya dikenali sebagai pemain badminton negara tetapi juga selebriti a.k.a Prince of Badminton Malaysia.

Diharap dengan status sebagai pemain bintang tidak akan menjejaskan prestasinya di gelanggang dan ramai yang berharap agar Zii Jia mampu meraih kejayaan sekaligus menjadi pemain No.1 Dunia pada satu hari ini seperti Chong Wei.