Pintu kemasukan pemain masih terbuka luas – Brad Maloney

386

Pengendali pasukan B-23 negara, Brad Maloney memberitahu pintu kemasukan pemain dalam skuad B-23 masih terbuka luas dan tidak menolak sebarang kemasukan pemain yang bersedia untuk memberikan persembahan terbaik.

“Pintu kemasukan masih dan sentiasa terbuka bagi kesemua pemain yang bersedia seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga memberitahu bahawa anak-anak buah kendaliannya yang kini bersama untuk menjalani latihan terakhir sebelum berangkat ke Uzbekistan pada Ahad ini.


“Kesemua pemain yang dibawa sekarang dalam keadaan baik dan bersedia untuk dipilih.”

Beliau juga memberitahu bahawa senarai akhir pemain yang akan dibawa oleh beliau ke sana akan diumumkan sejurus selepas tamat sesi latihan terakhir pada esok hari.

Malah beliau juga menegaskan pemain seperti Ramadhan Saifullah dan Hong Wan masih mempunyai peluang sama rata untuk terpilih kerana mereka merupakan antara pemain yang telah disenaraikan di dalam senarai menunggu.

Ini membawa maksud bahawa teka-teki dan khabar angin tentang kemasukan dua orang pemain muda dari Johor Darul Ta’zim (JDT) ini akan akhirnya terjawab tidak lama lagi.

Di samping itu, pengendali berasal dari Australia itu turut memberi komen beliau terhadap perubahan dan kemasukan yang telah dilakukan oleh pasukan Thailand apabila mereka memanggil sepuluh orang pemain yang kini beraksi di luar negara.

Pemain-pemain yang dipanggil adalah termasuk pemain tengah mereka yang sedang beraksi bersama pasukan muda Leicester City FC, Thanawat Suengchitthawon.

“Kita tidak dapat mengawal apa yang dilakukan oleh pasukan lain tetapi kita akan terus kekal fokus dengan apa yang sedang kita lakukan.

Kadang kala mengubah pemain dengan jumlah yang sangat banyak akan memberi manfaat tetapi ia juga boleh membawa masalah.”

Beliau menyatakan bahawa kegagalan sebelum ini bukanlah kayu ukur sebenar kemampuan pasukannya dan perkara ini dapat dipertingkatkan dengan adanya barisan pemain yang mampu memberikan persembahan berkualiti tinggi.

Tambah beliau lagi, para peminat berhak untuk melihat aksi-aksi bertenaga daripada para pemain Malaysia yang rata-rata mempunyai bakat dan kemahiran yang mampu memberi saingan yang sengit kepada pasukan-pasukan lain di serata dunia.

Pasukan kendalian beliau akan menjalani sesi latihan terakhir pada hari Sabtu sebelum berangkat untuk membawa cabaran negara di bumi Uzbekistan.