Rahadiazli lebih rela bersama skuad B-23 negara berbanding ‘diperam’ dalam skuad senior

2,106

Penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim lebih rela berada dalam skuad B-23 negara berbanding skuad senior bagi menambah pengalaman di peringkat antarabangsa terlebih dahulu.

Pemain berketinggian 1.92 meter itu mengakui beliau masih ketinggalan dari segi pengalaman berbanding penjaga gol senior seperti Khairulazhan Khalid dan Farizal Marlias serta sukar untuknya mendapatkan minit permainan dalam skuad utama.


Jelasnya, peluang beliau untuk beraksi adalah lebih cerah sekiranya mewakili skuad B-23.

“Dalam skuad senior dah ada pemain-pemain seperti Khairulazhan, Farizal serta lain-lain dan saya masih ketinggalan dari segi pengalaman.

“Jadi daripada saya duduk sana lebih baik saya dengan skuad B-23 untuk tambah pengalaman,”

katanya.

Menurutnya, beliau akan bekerja keras untuk merebut posisi penjaga gol utama skuad B-23 dan menyerahkan keputusan mengenai posisi itu kepada ketua jurulatih Brad Maloney.

Mengenai peluang negara pada kejohanan Piala Asia B-23 yang akan bermula 1 Jun ini, Rahadi percaya semua pasukan mempunyai peluang yang sama.

“Kalau ada rezeki kami semua memang nak pergi jauh kerana ini adalah kelayakan untuk Olimpik. Dalam kumpulan kita pun semua pasukan adalah hebat-hebat tetapi mereka ada dua kaki dan tangan dan kami pun sama, cuma kena tambahkan usaha sikitlah.”

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Terengganu kerana banyak memberinya peluang dan pengalaman bermain sehingga berjaya meningkatkan keyakinan dirinya.