Peminat menggesa penambahbaikan sistem tiket online

185

Persatuan-persatuan sukan di Malaysia sentiasa menggesa peminat agar turun memberikan sokongan kepada atlet di dalam semua kejohanan terutama sekali yang melibatkan acara besar seperti bola sepak, badminton dan sepak takraw.

Satu isu yang sering menimbulkan kemarahan dan ketidakpuasan hati di kalangan peminat sukan tanah air adalah mengenai sistem jualan tiket dalam talian yang sentiasa mempunyai masalah dan tidak mampu menampung jumlah pembeli yang ramai pada masa satu masa.


Isu ini semakin jelas kelihatan semalam (26 Mei) apabila pelbagai masalah demi masalah dihadapi oleh para peminat apabila pembelian tiket dalam talian dibuka untuk kejohanan badminton Terbuka Malaysia yang diadakan pada 28 Jun.

Perkara ini juga perlu diperbetulkan secepat mungkin menjelang aksi pusingan kelayakan Piala Asia 2023 yang akan melibatkan pasukan bola sepak kebangsaan pada bulan Jun.

Pertemuan pasukan kebangsaan dengan pasukan besar bola sepak Asia seperti Bahrain di pusingan kelayakan akan menarik perhatian sejumlah besar peminat bola sepak tanah air dan perkara seperti ini mampu merencatkan semangat kesukanan di kalangan peminat.

Perkara ini menjadi isu yang hangat diperkatakan sehingga kebanyakan media sosial seperti Twitter dibanjiri oleh komen yang menyuarakan pendapat serta kecaman terhadap badan bertanggungjawab menguruskan sistem pembelian ini.

Persatuan sukan perlu lebih cakna dan segera mencari solusi yang lebih berkesan serta mampu menjadikan proses pembelian tiket dalam talian menjadi lebih efisyen dan mudah digunakan oleh orang ramai terutama sekali bagi mereka yang tidak celik IT.

Meskipun permasalahan ini telah berlaku sekian lama tetapi tiada sebarang penambahbaikan yang dapat dilihat.

Persatuan sukan atau mana-mana badan bertanggungjawab perlu segera mengenalpasti dan mengambil tindakan yang lebih sewajarnya bagi mengelakkan masalah ini terus membelenggu industri sukan tanah air.

Jika perkara ini terus dibiarkan, semangat dan motivasi para peminat untuk turun memberikan sokongan kepada para atlet negara akan turut terjejas.

Hal ini tidak hanya berlaku kepada sukan badminton semata-mata, umum mengetahui sukan nombor satu di Malaysia, bola sepak juga sering berhadapan dengan masalah yang sama.

Mungkin sudah tiba masanya sukan seperti bola sepak di negara beralih ke arah teknologi dan sistem pengurusan yang lebih maju seperti menggunakan lesen tempat duduk peribadi

Jumlah peminat sukan seperti badminton yang dapat dilihat semakin bertambah secara mendadak menjadi indikator utama untuk pihak bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan selari dengan jumlah permintaan.

Kaedah serta pendekatan yang digunakan haruslah sentiasa dipantau dan dikemaskinikan agar dapat bergerak seiring dengan pembaharuan yang berlaku dari masa ke semasa.

Kejohanan Terbuka Malaysia akan bermula padan 28 Jun dan para peminat badminton Malaysia telah membanjiri portal pembelian tiket sehingga menyebabkan portal tersebut tidak dapat diakses oleh sebilangan besar peminat.

Ekoran daripada masalah yang dihadapi, jualan tiket disambung pada 28 Mei, pukul 2 petang seperti yang dinyatakan oleh BAM di dalam sebuah tweet mereka.

Perkara ini jelas menunjukkan minat dan perhatian yang semakin meningkat di kalangan masyarakat Malaysia bukan sahaja pada sukan besar seperti bola sepak mahupun badminton semata-mata.

Tindakan segera perlu diambil bagi mencegah dari permasalahan yang berlaku pada masa kini terus membelenggu industri sukan negara.