Pemain Afrika mangsa diskriminasi Ballon d’Or?

210

Anugerah Ballon d’Or merupakan satu pencapaian individu tertinggi yang boleh diraih oleh seorang pemain bola sepak.

Setiap pemain bola sepak pastinya mempunyai impian untuk mendakap trofi itu walau sekalipun sepanjang karier mereka.


Walaupun benua Afrika melahirkan ramai pemain berbakat sejak daripada dulu lagi, hanya seorang sahaja pemain dari benua itu yang pernah meraih anugerah itu iaitu George Weah pada tahun 1995.

Dan sejak daripada edisi itu, tiada seorang pun pemain Afrika berjaya menduduki tiga teratas dalam senarai akhir Ballon d’Or.

Musim lalu, penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy yang melalui musim yang amat mengagumkan juga hampa apabila ia dianugerahkan kepada pemain PSG, Lionel Messi.

Beliau yang berjaya meraih tiga trofi iaitu UEFA Champions League, UEFA Super Cup dan FIFA Club World Cup bersama kelabnya langsung tidak tersenarai dalam senarai pendek 30 pemain.

Bukan itu saja, beliau juga meraih beberapa anugerah individu seperti penjaga gol terbaik FIFA Best, penjaga gol terbaik UEFA Champions League 2021 dan penjaga gol terbaik Piala Afrika, namun ia masih tidak cukup buat dirinya.

Sejak dahulu lagi terdapat suara yang mendakwa terdapat diskriminasi dalam pemberian anugerah itu terhadap pemain-pemain daripada Afrika.

Baru-baru ini pemain Liverpool, Sadio Mane juga ada meluahkan ketidakpuasan hatinya mengenai anugerah itu dan menyifatkan ia sebagai menyedihkan.

Beliau merasakan bahawa layanan yang diberikan kepada pemain-pemain Afrika dalam pemilihan Ballon d’Or sebagai tidak adil.

Tahun ini, Mane merupakan antara calon kuat untuk memenangi Ballon d’Or selepas persembahan mantapnya bersama Liverpool dan Senegal.

Rakan sepasukannya di Liverpool Mohamed Salah juga merupakan calon hangat untuk meraih anugerah itu terutama selepas berjaya mencatat nama selaku penjaring terbanyak dan bantuan gol terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris.

Pencapaian terbaik kedua-dua pemain itu hanya berada di tangga keempat (Mane) dan kelima (Salah) pada tahun 2019 walaupun persembahan mereka pada tahun itu amat memberangsangkan terutama kejayaan meraih trofi UCL.

Mane juga turut mengakui bahawa pemenang Ballon d’Or tahun ini kemungkinan besar ditentukan oleh pemenang UCL.

Liverpool bakal bertemu Real Madrid dalam perlawanan akhir awal pagi Ahad ini, dan penyerang Los Blancos, Karim Benzema juga merupakan salah seorang calon hangat untuk anugerah Ballon d’Or.

Sekiranya Liverpool berjaya menewaskan Real Madrid pada perlawanan itu, tidak salah jika dikatakan bahawa Ballon d’Or wajib diberikan kepada sama ada Mane atau Salah.

Jika tidak, ia akan menampakkan lagi diskriminasi pihak yang mengendalikan anugerah itu.