Kualiti pemain tempatan lebih bagus berbanding pemain naturalisasi

536

Susulan daripada persoalan seorang ahli parlimen yang ingin tahu sejauh mana Kementerian Belia Dan Sukan mengawal tindakan menaturalisasi pemain bola sepak sebagai pemain kebangsaan di negara ini. Menteri Belia Dan Sukan, Dato’ Seri Faizal Azumu berkata pemain tempatan beraksi sangat baik dan tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan pemain yang di naturalisasikan mengikut statistik yang diulasnya.

Berikutan daripada ulasan beliau itu, proses naturalisasi pemain untuk skuad negara dihentikan seketika oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diatas persembahan pemain naturalisasi yang kurang memberangsangkan pada aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Perkara ini dapat memberi lebih banyak peluang untuk pemain tempatan beraksi Bersama skuad Harimau Malaya selain dapat menonjolkan bakat dan kualiti yang ada pada pemain tempatan.


Selain itu, pembangunan bola sepak untuk pemain muda akan mendapat lebih perhatian setelah peluang dan ruang diberikan untuk mereka. Penekanan terhadap pembangunan bola sepak negara amat penting kerana bermula dari kanak-kanak sehingga remajalah mampu membentuk sesebuah pasukan yang mantap. Sebagai contoh kita lihat sahaja Jepun yang amat menekankan pembangunan bola sepak seawal usia 7 tahun kepada masyarakat tempatan dan hasilnya seperti yang kita tahu Jepun telah menjadi salah satu negara yang hebat di rantau Asia.

Pembangunan bola sepak di Jepun amat menitik beratkan terhadap pemain tempatan berbanding pemain dari luar. Kualiti pemain Jepun sekarang setara bersama pemain yang beraksi di Eropah hasil pembangunan bola sepak dari akar umbi, malahan ramai pemain dari Skuad Matahari Terbit itu bermain di liga-liga utama di Eropah. Apabila para pemain dilatih dan dididik sejak awal, skuad negara tidak akan timbul isu kurang pemain yang berkaliber untuk mewakili negara malahan akan dilimpahi oleh bakat-bakat anak tempatan. Secara tidak langsung terus akan menutup peluang untuk pemain luar yang dinaturalisasikan beraksi bersama Harimau Malaya.

Sejarah juga telah membuktikan pemain tempatan juga mampu mengharumkan nama negara tanpa pemain naturalisasi apabila skuad Harimau Malaya berjaya merangkul emas Sukan SEA 2009 di Laos dan menjulang Piala AFF SUZUKI 2010 di Jakarta. Hal ini disebabkan pada ketika itu Liga Malaysia mengharamkan pemain luar untuk beraksi. Disamping itu, skuad negara mampu melahirkan ramai penyerang yang hebat dan berkualiti seterusnya memberi kejayaan kepada Malaysia.

Sumber Foto : FAM Official