FAM perlu lebih proaktif jika mahukan khidmat Wan Kuzain & Kuzri
Rata-rata penyokong bola sepak tanah air sebelum ini nyata teruja mahu melihat dua kelibat pemain warisan iaitu Kobe Jae Chong dan Nooa Laine beraksi untuk skuad B-23 negara di Piala Asia B-23 yang akan berlangsung pada awal Jun ini.
Namun harapan untuk melihat perkara itu berlaku nampaknya tidak kesampaian apabila kedua-dua pemain itu tidak tersenarai dalam 23 pemain yang dibawa oleh ketua jurulatih Brad Maloney ke Uzbekistan.
Difahamkan kedua-dua pemain itu tidak dapat didaftarkan kerana masalah dokumentasi yang sehingga kini masih belum selesai.
Ia merupakan satu kerugian buat negara kerana kemasukan kedua-dua pemain ini diramal mampu menambah kekuatan pasukan.
Hendak menyesal juga tidak berguna kerana ‘nasi sudah menjadi bubur’ kerana mereka sudah pun terbang ke Uzbekistan kelmarin.
Dua lagi pemain bola sepak Malaysia yang menetap di Amerika Syarikat iaitu Wan Kuzain dan Wan Kuzri juga menerima nasib yang sama apabila sehingga kini masih lagi belum berpeluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya biarpun sebelum ini mereka pernah berlatih bersama skuad remaja kebangsaan.
Antara masalah utama yang menjadi penghalang kepada pemain-pemain ini bermain untuk negara adalah masalah dokumentasi.
Tidak dapat dipastikan masalah dokumentasi yang macam mana tetapi ternyata ia menjejaskan peluang untuk mereka ini beraksi untuk skuad negara.
Ramai penyokong berharap agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus bertindak dengan lebih proaktif lagi dalam membantu melancarkan urusan dokumentasi pemain-pemain ini.
Apa yang penting adalah uruskan segala perihal dokumentasi dengan lebih awal lagi sekiranya FAM berminat untuk memanggil pemain-pemain ini beraksi untuk negara. Jangan ‘nak terberak baru nak gali lubang’.
Wan Kuzain kini bermain untuk kelab St. Louis City II SC dalam saingan MLS Next Pro iaitu Liga Simpanan.
Mungkin ketua jurulatih negara Kim Pan-gon belum berkesempatan untuk melihat pemain negara yang beraksi di luar negara kerana kesuntukan masa kerana sibuk dengan kem latihan Harimau Malaya untuk saingan kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada awal Jun ini.
Tetapi selepas ini Pan-gon mungkin sudah boleh menilai pemain-pemain negara yang berpengkalan di luar negara untuk dipanggil memperkuatkan pasukan pada masa akan datang.
Tetapi apa yang paling penting adalah pihak FAM perlu cepat untuk uruskan segala dokumentasi pemain supaya pemain ini boleh dipanggil pada bila-bila masa tanpa masalah.