Golongan OKU didiskriminasi, pengasas Idolci Gelato wujudkan peluang pekerjaan
Golongan orang kurang upaya (OKU) sentiasa mempunyai kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan sikap sebilangan majikan di negara ini yang memandang rendah keupayaan golongan itu.
Perkara itu menjadi sebab utama buat pengasas Idolci Gelato, Gigi Teoh untuk menggaji golongan tersebut sebagai pekerja di syarikatnya.
Ketika ini, beliau mempunyai dua orang pekerja pekak yang bekerja untuknya.
“Sebelum saya buka Idolci Gelato ini, saya memang sudah tahu bahasa isyarat kerana pernah belajar dulu. Ketika saya ingin mengambil pekerja untuk Idolci Gelato, saya fikir mengapa tidak saya ambil pekerja yang pekak atau bisu kerana golongan ini lebih sukar untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan majikan sukar berkomunikasi dengan mereka.
Saya tidak mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan mereka memandangkan saya sudah tahu bahasa isyarat. Selain itu saya juga boleh mempraktikkan apa yang saya perlajari dengan mereka,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurutnya majikan-majikan di negara ini harus membuang pandangan skeptikal mengenai golongan pekak dan bisu kerana mereka juga mampu melakukan kerja seperti orang lain.
Beliau berkata komunikasi sepatutnya tidak menjadi alasan untuk tidak mengambil golongan itu bekerja kerana mereka juga boleh menulis dan membaca seperti orang lain.
Beliau berharap lebih banyak majikan di negara ini akan melibatkan golongan pekak dan bisu dalam syarikat mereka kerana mereka mempunyai potensi untuk menyumbang kemahiran, pemikiran dan pengalaman mereka.
Dalam pada itu, beliau menasihati golongan pekak dan bisu supaya tidak mudah putus asa dan tidak melihat kekurangan yang dimiliki sebagai satu halangan tetapi cabaran buat diri.
“Percaya kepada diri sendiri kerana semua orang mempunyai bakat dan keistimewaan masing-masing, jangan putus asa dan jangan malu untuk bertanya.
Yang penting anda harus bersabar dengan sebarang masalah yang dihadapi dan ingat bahawa komunikasi itu sangatlah penting.”
Bercerita mengenai pengalamannya dalam bidang pembuatan aiskrim, beliau berkata sebelum mengasaskan Idolci Gelato pada 2007, beliau pernah bekerja di bawah didikan seorang chef dari Itali selama lima tahun di Kuala Lumpur sebelum bekerja di sebuah hotel di Singapura selama tiga tahun.
Apabila pulang ke Malaysia, beliau terlihat satu iklan pekerjaan sebagai gelato cef dan mengambil peluang untuk bekerja dalam bidang tersebut sehingga kini.