Program realiti TV kembali ditagih
Sekarang merupakan waktu yang sesuai untuk kebangkitan semula program-program realiti televisyen yang memfokuskan kepada pencarian bakat bola sepak dalam negara.
Program pencarian bakat-bakat baru bola sepak tanah air dengan menggunakan konsep realiti TV mula diperkenalkan menerusi sebuah program yang diberi nama ‘MyTeam’.
Seperti yang kita tahu, siri televisyen ‘MyTeam’ bermula dengan tujuan untuk mencari bakat-bakat baru bola sepak Malaysia dan dilatih oleh jurulatih terkenal Malaysia, mendiang Shebby Singh.
Idea ini menunjukkan hasil yang positif sehingga berlakunya penggabungan bersama pasukan Perak UPB FC dan menjadikan pasukan ini dikenali sebagi UPB-MyTeam FC.
Pasukan ini juga telah dijemput untuk menyertai Liga Perdana pada musim 2006/2007 dan telah berjaya dinaikkan ke Liga Super 2007/2008 setelah berjaya menamatkan saingan liga di tempat kedua di belakang PDRM FC.
Antara produk hasil daripada program ini adalah bekas pemain negara, Azmi Muslim yang kini beraksi bersama pasukan Penang FC.
Impak positif daripada program ini semakin jelas kelihatan apabila pasukan ini mula beraksi di Liga Malaysia, terdapat beberapa pemain-pemain muda ketika itu yang menjadikan kelab ini sebagai tapak permulaan bagi karier mereka.
Pemain itu termasuklah penyerang prolifik negara, Norshahrul Idlan Talaha yang mula memperagakan aksi terbaik beliau selepas berjaya menjaringkan 14 gol bersama pasukan ini sebelum dibeli oleh pasukan Kelantan.
Justeru itu, usaha sebegini perlu dihidupkan semula oleh pihak bertanggungjawab di tambah dengan penglibatan syarikat-syarikat besar tempatan seperti UNIFI dan CELCOM yang mampu membantu dari segi dana untuk menampung perbelanjaan.
Kewujudan program atau kelab yang mampu menjanjikan peluang bermain dan gaji yang berpatutan serta jaminan kontrak jangka masa panjang akan memberi kelebihan dari segi mendapatkan pemain yang lebih berkualiti.
Ini kerana, usaha seperti ini akan membolehkan para pencari bakat menemui pemain yang mempunyai minat yang mendalam berbanding hanya memandang wang ringgit semata-mata.
Purata gaji tinggi yang diletakkan oleh kebanyakan pasukan di Liga Malaysia menyebabkan pemain-pemain terutamanya golongan belia hanyut dengan kemewahan.
Fokus sepenuhhya terhadap minat dan cinta terhadap bola sepak akan menjadi motivasi kepada pemain untuk sentiasa berusaha bagi memperbaiki prestasi semasa mereka.
Kali terakhir program realiti pencarian bakat diadakan adalah menerusi program televisyen ‘Mencari Ramli’ yang berjaya diadakan sehingga musim keenam.
Program ini turut berjaya melahirkan lambakan pemain berkualiti seperti Adam Nor Azlin, Ramadhan Saifullah dan Faisal Abdul Halim.