Tiada peluang ketiga buat Wooi Yik

222

Pemain beregu negara, Soh Wooi Yik perlu tolak tepi segala kritikan dan segera buktikan kemampuan sebenar beliau di atas gelanggang.

Sebelum ini, pasangan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal untuk mempamerkan aksi cemerlang di saingan Terbuka Thailand apabila tewas pada peringkat separuh akhir di tangan Fajar Alfian dan Rian Ardianto.


Perkara ini lantas menimbulkan spekulasi terhadap masa depan gandingan tersebut dan wujudnya pendapat bahawa mereka perlu dipisahkan.

Khabar angin ini dibidas oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu negara, Rexy Mainaky yang menjelaskan bahawa peluang akan terus diberi kepada pasangan ini selaku beregu nombor satu negara – pasa masa ini.

Rombakan pasangan juga akan merencatkan momentum persiapan mereka ke temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris di samping mengambil masa yang lama bagi membina persefahaman semula.

Jika beregu ini dipisahkan, peminat menjangkakan bahawa Aaron akan digandingkan bersama dengan Teo Ee Yi seperti yang telah berlaku semasa Piala Thomas baru-baru ini.

Untuk perkara itu menjadi kenyataan, Ee Yi perlu kembali menjadi pemain yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum dapat digandingkan bersama Aaron.

Rexy tetap menyimpan harapan yang tinggi agar Aaron-Wooi Yik akan memperoleh sekurang-kurangnya satu gelaran dalam masa terdekat sebagai motivasi kepada mereka untuk terus beraksi cemerlang.

Sokongan sentiasa diberikan kepada pasangan beregu ini oleh para peminat yang sentiasa mengharapkan agar mereka kembali menemui sentuhan ajaib.

Aksi bertenaga daripada duo ini amatlah ditagih tatkala Terbuka Malaysia akan membuka tirainya pada penghujung bulan Jun.

Sebelum ini, mereka hampir memperoleh gelaran di Kejohanan Badminton Asia Manila sebelum dikejutkan oleh pasangan beregu muda Indonesia, P.K. Riyanto dan Y.Rambitan di perlawanan akhir.

Untuk aksi mereka yang seterusnya di Indonesia Masters 2022, Wooi Yik perlu bangkit segera untuk mengurangi kesilapan-kesilapan mudah yang sering dilakukannya sebelum ini.

Kali terakhir pasangan ini mempamerkan aksi cemerlang adalah ketika mereka mendapatkan pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020 setelah berjaya menewaskan dua pasangan terbaik dunia dari Indonesia: Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon (suku akhir) dan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (perlawanan tempat ke 3-4).