Jangan awal angkat ‘bendera putih’ untuk jadi penganjur Piala Asia 2023

677

Selepas negara China mengambil keputusan untuk menarik diri menjadi hos Piala Asia 2023 den pandemik COVID-19 yang masih belum terkawal, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah buka tawaran untuk mana-mana negara untuk jadi tuan rumah.

Tawaran yang dibuat oleh AFC kepada 47 negara anggota termasuk Malaysia dilihat berpeluang untuk sekali lagi menjadi tuan rumah.


Malangnya ia berkemungkinan besar tidak akan berlaku selepas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar menjelaskan bahawa negara tidak berkemampuan untuk menganjurkan kejohanan terbesar Asia itu kerana kekangan venue serta padang berkualiti tinggi.

Berdasarkan kriteria dari AFC, negara yang ingin membida untuk menjadi tuan rumah perlu mempunyai sekurang-kurangnya empat venue yang mana kita tidak akan mempunyai masalah berikutan di Malaysia kita mempunyai banyak stadium.

Kekurangan yang menyebabkan Saifuddin berkata demikian adalah kualiti padang latihan yang perlu setaraf dengan venue perlawanan.

Tidak dapat dinafikan ketika ini stadium di Malaysia sememangnya tidak banyak yang menggunakan padang yang berkualiti tinggi seperti yang diguna di Stadium Sultan Ibrahim milik Johor Darul Ta’zim (JDT).

Saifuddin bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kejohanan berprestij akan dianjurkan kerana ia terserah kepada keputusan mesyuarat exco yang akan diadakan selepas Kongres FAM pada Ogos depan yang akan membincankan samada mahu membida penganjuran atau tidak.

Setelah sekian lama tidak menganjurkan kejohanan bola sepak besar di negara, rasanya kejohanan Piala Asia 2023 boleh dijadikan batu loncatan untuk membuka mata lebih banyak pihak untuk memperlihatkan kemampuan Malaysia menganjurkan kejohanan sebesar ini.

Jangan angkat ‘bendera putih’ terlalu awal. Ya tidak dapat dinafikan kita kesuntukan masa untuk sediakan padang berkualiti, tetapi apa kata guna ‘alasan’ ini untuk percepatkan proses penukaran rumput.

Ia sebenarnya adalah pelaburan untuk jangka masa panjang kerana ia bukan sahaja akan digunakan untuk Piala Asia 2023 sahaja, tetapi juga untuk perlawanan liga dan juga kejohanan-kejohanan bola sepak lain.

Apabila ada kejohanan bola sepak besar, ia secara tidak langsung akan menjana pendapatan untuk negara berikutan penyokong dari luar negara akan datang ke Malaysia untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

Tambahan pula Malaysia mempunyai peluang yang sangat cerah untuk menjadi penganjur kerana ibu pejabat AFC sendiri terletak di Kuala Lumpur, jadi ia akan menjadi lokasi paling tepat kerana ia akan memudahkan pelbagai urusan membabitkan koordinasi kejohanan berikutan dekat dengan ibu pejabat.

FAM juga sebenarnya sudah mempunyai pengalaman menjadi tuan rumah untuk kejohanan Piala Asia ini kerana pada tahun 2007, Malaysia telah menjadi salah sebuah dari empat negara yang menjadi penganjur.

Maka dengan pengalaman yang sudah ada sebelum ini pasti akan melancarkan segala urusan berkaitan dengan penganjuran kejohanan berprestij ini, malah AFC juga sudah pasti akan memberi bantuan kepada FAM sekiranya memerlukan pertolongan mereka.

Jadi diharap FAM dapat mempertimbangkan sebaik-baiknya sebelum membuat sebarang keputusan demi kemajuan bola sepak tanah air.