Masih tiada penghormatan rasmi diberikan kepada Shebby di Malaysia

148

Pemergian bekas pemain bola sepak negara, Serbegeth Singh atau Shebby Singh pada Januari lalu masih belum dapat dilupakan oleh sebahagian peminat bola sepak tempatan.

Beliau yang meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung ketika berbasikal merupakan salah seorang individu penting dalam bola sepak negara sama ada ketika kariernya dan juga selepas beliau bersara.


Sebagai pemain beliau berjaya meraih 61 kaps bersama Harimau Malaya dan pernah mewakili negara dalam tiga edisi Sukan Asia, iaitu pada 1982, 1986 dan 1990, dan pernah menyumbang pingat emas buat negara pada kejohanan Sukan SEA 1989.

Selain itu, beliau turut meninggalkan legasi yang boleh dikatakan besar mencungkil bakat-bakat baharu bola sepak negara satu ketika dahulu menerusi program MyTeam.

Siapa yang tidak ingat program tersebut yang melahirkan bakat-bakat baru seperti Azmi Muslim, Hasmizan Kamarodin, T. Arun Kumar dan lain-lain.

Khamis lalu, dalam kejohanan International Futsal League di Singapura, Arun Kumar memberi penghormatan kepada bekas jurulatihnya itu dengan memegang jersi Tottenham Hotspur yang tertera nama Shebby di belakangnya.

Di luar negara, kita sering melihat pelbagai cara peminat atau liga negara itu memberi penghormatan kepada lagenda yang meninggal dunia seperti bertafakur sebelum perlawanan.

Namun, sejak pemergian Shebby, kita tidak dapat melihat penghormatan diberikan kepadanya seperti yang dilakukan Arun Kumar.

Hanya satu perlawanan bola sepak amal bagi memperingati jasa mendiang yang diadakan di Kluang, Johor pada 19 Januari lalu, itu pun dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai The Friendship Circle dengan menghimpunkan bekas pemain bola sepak kebangsaan dari Malaysia, Singapura dan Brunei.

Mungkin ketika pemergiannya Liga Malaysia sedang berehat, tetapi walaupun selepas kira-kira lima bulan berlalu, perkara itu dapat dilakukan di negara jiran, apa yang menghalang kita daripada melakukan perkara sama?

Adakah beliau tidak cukup layak seperti lagenda-lagenda lain seperti Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Wira Soh Chin Ann, Datuk Santokh Singh dan lain-lain?

Perkara itu boleh saja dilakukan ketika liga bermula pada Mac lalu, tetapi mungkin tiada pihak yang terfikir akan perkara itu.

Tidak salah jika liga kita mengadakan sesi mengingati Shebby selama seminit sebelum sepak mula perlawanan liga pada hari tertentu bagi menghargai jasa beliau, ataupun mewujudkan satu piala atau trofi dengan nama beliau.

Shebby Singh bukanlah orang asing dalam arena bola sepak Malaysia, bahkan jasanya tidak terkira ketika mewakili negara dan juga dalam membangunkan bola sepak negara.

Sepatutnya kita harus melakukan lebih dalam menghargai lagenda sepertinya.