Keputusan menentang Harimau Malaya tak penting – Jorn Andersen
Ketua jurulatih Hong Kong, Jorn Andersen memberitahu bahawa beliau tidak akan mengutamakan keputusan apabila menentang pasukan Malaysia dalam perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1.
Menurut Andersen, fokus mereka ketika ini adalah untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada untuk mempersiapkan pasukan untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2023.
“Pada perlawanan esok (Rabu) saya tidak akan memberi tumpuan kepada keputusan, sebaliknya ia akan dijadikan sebagai medan untuk memperbaiki segala kelemahan dan cuba bermain dengan corak permainan yang kami sendiri.
Berdasarkan keputusan perlawanan, baru kami akan meneliti, menilai dan membuat perubahan untuk memperkuatkan lagi pasukan,”
katanya pada sidang media di Wisma FAM sebentar tadi.
Andersen teruja dengan perlawanan menentang Harimau Malaya yang mana ia akan memberi peluang kepada pemain-pemainnya untuk turun beraksi selepas saingan Hong Kong Premier League ditunda dek pandemik COVID-19.
Tambahnya lagi, menerusi perlawanan persahabatan ini juga akan memudahkan beliau untuk mengenal pasti kekuatan setiap pemainnya supaya beliau boleh membuat percaturan yang berkesan untuk perlawanan pertama Kelayakan Piala Asia 2023 menentang India pada 14 Jun.
“Ketika ini saya tidak dapat gambaran dengan lebih jelas kondisi pasukan saya berikutan mereka tidak mempunyai perlawanan kompetitif kerana saingan liga domestik ditunda akibat pandemik. Saya hanya akan dapat melihat kondisi sebenar pasukan selepas perlawanan menentang Malaysia.”
Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai pemain Malaysia yang manakah yang perlu diberi perhatian oleh pemainnya, sebaliknya hanya mahu fokus pada anak buahnya sahaja.
Andersen bagaimanapun mengakui sudah melihat video perlawanan skuad negara ketika menentang Brunei dan berkata Hong Kong akan menerapkan corak permainan menyerang.
“Saya tahu beberapa jurulatih sebelum ini menerapkan permainan sering memegang bola lama dan menghantar ke belakang semula dan ia tidak memberikan keputusan yang baik buat pasukan. Oleh sebab itu saya datang sini untuk mengubah corak permainan untuk mendapatkan keputusan baik.”
Untuk rekod lima perlawanan terakhir menentang Malaysia, Hong Kong menang sekali, kalah sekali dan seri tiga kali.