“Data analisis bola sepak semakin diterima ramai, harap kelab lain pula ikut JDT lepas ini”
Selepas perlawanan penentuan pingat gangsa antara Malaysia dan Indonesia di Sukan SEA Hanoi tempoh hari, seorang penyokong setia bola sepak negara meraih perhatian di laman media social selepas tweet-nya yang menunjukkan jangkaan gol antara kedua-dua pasukan menjadi tular.
Pelajar berusia 20 tahun yang dikenali dengan nama Chun Hang itu tidak menyangka infografik yang dilakarnya itu mendapat sambutan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Chun Hang berkata, rata-rata peminat memberi reaksi positif terhadap infografiknya itu dan beliau gembira kerana semakin ramai rakyat Malaysia yang mula membuka mata akan kepentingan data dan statistk dalam sukan khususnya bola sepak.
“Mereka juga sangat teruja kerana terdapat rakyat Malaysia yang boleh buat model seperti itu, saya rasa begitu bangga kerana melihat penerimaan orang kita terhadap bidang analisis data ini.
Ketika awal saya mula berkongsi statistik dan data di media sosial, tujuan saya hanyalah ingin mencari rakan dan mewujudkan komuniti untuk bersembang dan berkongsi idea mengenai bidang ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau mula aktif memuat naik data dan statistik bola sepak di media sosial sejak tahun lalu selepas melihat satu video yang membincangkan mengenai perkara itu.
Selain itu, minatnya juga timbul menerusi permainan kegemarannya, Football Manager selepas melihat segala data dan statistik yang dikongsi dalam permainan video itu.
Menurutnya, beliau mula mencatat data dan statistik pada perlawanan akhir EURO 2020 antara England dan Itali.
Selepas itu beliau mula aktif melakukan analisis perlawanan terutamanya jika melibatkan pasukan kegemarannya, Manchester United.
Katanya dengan data dan statistik yang diperolehinya, beliau boleh berbincang mengenai bola sepak dengan lebih meyakinkan kerana mempunyai fakta yang tepat.
“Contohnya ketika Malaysia menentang Indonesia tempoh hari, Harimau Malaya mempunyai 2.77 jangkaan gol tetapi hanya menjaringkan satu gol. Ini menunjukkan bahawa kita mempunyai kualiti mencipta peluang gol tetapi tidak mencapai potensi itu.
Berbeza dengan Indonesia yang mempunyai hanya 1.4 jangkaan jaringan dan mereka juga menjaringkan satu gol. Mereka mencapai apa yang dijangkakan daripada mereka.”
Dalam pada itu, Chun Hang berkata bahawa beliau mahu mendidik orang ramai tentang kepentingan analisis data dalam bola sepak dan bagaimana ia boleh membantu memahami permainan itu dengan lebih baik.
Beliau juga mengakui pernah menerima nasihat dan ilmu daripada penganalisis pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Haydee Agras melalui media sosial.
“Haydee ada berhubung dengan saya melalui media sosial, beliau memang supportive dan ada beri nasihat kepada saya.
Saya amat kagum dengan kerjanya di JDT, saya harap lebih banyak lagi kelab di negara ini akan mengikuti jejak mereka dengan mewujudkan pasukan penganalisis data.”
Menurutnya, beliau sememangnya berminat untuk melibatkan diri dalam bidang analisis bola sepak secara serius dan berharap dapat bekerja dengan kelab bola sepak di Malaysia.
Chun Hang berharap apa yang dilakukannya ini boleh menjadi inspirasi buat ramai lagi peminat bola sepak di luar sana.